PETALING JAYA: Seramai 12 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji semula keputusan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pendidikan awam bermula esok.
Dalam satu kenyataan bersama, wakil-wakil rakyat itu mahu penelitian semula terhadap program itu demi menjamin sekolah dan institusi awam bebas daripada unsur dendam dan keganasan.
“Kami difahamkan tujuan KPM adalah untuk mendidik pelajar mengenai nilai manusiawi, hak asasi manusia dan keprihatinan terhadap penderitaan.
“Namun adalah sukar bagi KPM untuk memantau program solidariti Palestin itu mencapai matlamatnya tanpa menyebar rasa kedendaman dan keganasan,” kata kenyataan itu.
Ahli Parlimen yang terlibat ialah Tan Kar Hing (Gopeng); Lee Chean Chung (Petaling Jaya); Chiew Choon Man (Miri); Lee Boon Heng (Kebun Bunga); Chua Wei Kiat (Rawang); Chan Chun Kuang (Semambu) dan Wong Chai Yi (Simpang Pulai).
ADUN yang turut tersenarai ialah Yew Boon Lye (Chuah); Goh Choon Aik (Bukit Tambun); David Cheong Kian Yong (Kajang); Arthur Chiong Sen Sern (Bukit Batu) serta Adam Loh Wei Chai (Bakar Arang).
Mereka juga mahu KPM mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang gagal mematuhi garis panduan KPM serta mempromosi keganasan dengan senjata mainan di sekolah.
“Kami beranggapan, tindakan membawa isu dan konflik antarabangsa ke sekolah adalah tidak wajar dan harus dikaji semula.
“Kerajaan dan rakyat kita perlu mengekalkan akal fikiran yang rasional. Dalam kita menyokong perjuangan Palestin, jangan sesekali membangkitkan isu dendam dan keganasan dalam institusi awam,” katanya.
Minggu Solidariti Palestin dijadual pada 29 Oktober hingga 3 November ini.
Selain sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara turut terlibat.
Beberapa pihak telah menyuarakan bantahan dengan antaranya berkata sekolah perlu kekal menjadi ruang neutral untuk pembelajaran dan pemahaman terutama selepas muncul gambar kanak-kanak yang memegang senjata mainan, didakwa berkaitan dengan Minggu Solidariti Palestin di sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika mengulas mengenai gambar itu berkata, program melibatkan senjata mainan di sebuah sekolah yang sedang tular tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan.
Katanya, siasatan sedang dilakukan pihaknya dan satu laporan akan dihantar kepada beliau untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, solidariti Palestin di semua sekolah adalah digalakkan dalam usaha menanam nilai-nilai positif dalam kalangan murid tetapi tidak akan berkompromi terhadap unsur ekstremisme. – UTUSAN










