Mengasari warga emas: Tiga lelaki ditahan polis - Utusan Malaysia

Mengasari warga emas: Tiga lelaki ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Tiga orang lelaki berusia 17 hingga 29 tahun ditangkap polis bagi membantu siasatan berhubung kes video tular bertajuk “Derhaka Ibu” bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua mereka ditahan selepas soal siasat dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini pada pukul 6.30 petang semalam.

Menurutnya, hasil semakan rekod jenayah lampau dapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian saringan awal air kencing juga negatif.

“Mereka juga dibawa reman selama empat hari bermula hari ini hingga 9 Oktober ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jelas Aidi Sham lagi, polis dalam proses melengkapkan kertas siasatan dengan memanggil beberapa saksi untuk membantu siasatan sebelum merujuk kepada pihak pendakwaan untuk arahan lanjut.

Menurutnya, polis sudah membuka satu kertas siasatan berkaitan insiden terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, media melaporkan polis mengesan satu video tular yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook berkaitan seorang lelaki yang melakukan kekerasan terhadap seorang warga emas yang juga dipercayai adalah ibunya.

Rakaman video tersebut dibuat rentetan satu kejadian yang berlaku pada 28 September lalu kira-kira pukul 9.28 malam melibatkan selisih faham antara adik beradik kepada warga emas tersebut di Taman Pertama Port Dickson.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN