PETALING JAYA: Kedudukan pelaburan kerajaan pada akhir tahun 2022 berkurangan sebanyak RM8.238 bilion atau 19 peratus berbanding tahun 2021.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022, kedudukan pelaburan kerajaan pada akhir 2022 berjumlah RM35.153 bilion, manakala 2021 berjumlah RM43.391 bilion.
“Sebanyak 68.7 peratus daripada pelaburan kerajaan adalah daripada dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) dan Kumpulan Wang Amanah Lain dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM24.15 bilion.
“Sejumlah RM11.004 bilion atau 31.3 peratus pula merupakan pelaburan daripada lebihan Akaun Hasil Disatukan. Kedudukan pelaburan kerajaan berdasarkan sumber dana pada akhir tahun 2022 berbanding 2021,” menurut laporan itu.
Manakala sejumlah RM11.00 bilion atau 31.3 peratus pula merupakan pelaburan daripada lebihan Akaun Hasil Disatukan.
Sementara itu, kedudukan pelaburan KWAN pada akhir 2022 pula berjumlah RM14.47 bilion, iaitu 41.2 peratus daripada keseluruhan pelaburan kerajaan dan merekodkan peningkatan sejumlah RM0.583 bilion atau 4.2 peratus berbanding RM13.89 billion pada 2021.
“Peningkatan baki pelaburan antaranya disebabkan oleh terimaan dana daripada syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berjumlah RM500 juta serta terimaan faedah dan dividen yang dilaburkan semula,” kata laporan itu.
Selain itu, kedudukan pelaburan Kumpulan Wang Amanah Lain pada akhir 2022 berjumlah RM9.678 bilion, iaitu 27.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan kerajaan.
Ia berkurangan sebanyak RM12.800 bilion atau 57 peratus berbanding RM22.475 bilion pada 2021.
“Sebahagian besar Pelaburan Kumpulan Wang Amanah Lain adalah dalam Deposit Jangka Pendek Dalam Negeri Melebihi Tiga Hingga 12 Bulan yang berjumlah RM9.54 bilion dan Deposit Jangka Panjang Dalam Negeri Melebihi 12 Bulan berjumlah RM0.14 bilion. Pelaburan ini diuruskan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia,” kata laporan audit itu. – UTUSAN