Lelaki Orang Asli maut dibaham harimau

Lelaki Orang Asli maut dibaham harimau

KESAN tapak kaki harimau yang dijumpai selepas dipercayai membaham seorang lelaki Orang Asli di Pos Pasik, Gua Musang, Kelantan semalam.-IHSAN PENDUDUK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang lelaki Orang Asli dikhuatiri maut dibaham seekor harimau ketika keluar menyumpit seorang diri di kawasan ladang kelapa sawit di Pos Pasik di sini, kelmarin.

Mayat, Pisie Amud, 25, dari Kampung Sugi, Pos Pasik ditemukan penduduk kampung semalam dengan kesan cakaran haiwan berkenaan pada bahagian kepala dan badan, selain sebelah kaki kirinya sudah hilang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pasik, Mohd. Sani Nahtiman berkata, beliau dimaklumkan bahawa mangsa tidak pulang selepas keluar menyumpit kelmarin.

Menurutnya, dua penduduk kampung kemudian telah keluar mencari mangsa di atas kawasan bukit Kampung Perwer yang bersempadan dengan ladang kepala sawit pada pukul 5 petang semalam.

“Penduduk kampung menemui motosikal dan peralatan menyumpit mangsa sebelum turut melihat kesan tapak kaki harimau di lokasi kejadian.

“Saya bersama 10 orang penduduk kampung bergegas ke tempat kejadian sejam kemudian. Berpandukan kesan tapak harimau terbabit. Selepas bergerak sejauh 500 meter, saya dan tiga penduduk telah menjumpai mayat mangsa,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Mohd. Sani memberitahu, sehubungan itu, seramai 20 orang penduduk mula berkawal di kawasan mayat terbabit ditemui bermula pukul 9 malam tadi.

Katanya, penduduk telah bergilir-gilir menjaga mayat mangsa sebelum pihak berwajib datang untuk mengambilnya pagi ini.

“Bagaimanapun, harimau belang itu dipercayai datang semula ke kawasan tersebut kira-kira pukul 4 pagi tadi untuk mengambil mayat mangsa apabila mereka terdengar bunyi pergerakan haiwan tersebut.

“Orang Asli yang berkumpul di situ terus membuat bising dengan memasang mercun untuk menghalau harimau terbabit. Kami percaya harimau itu masih berada berhampiran lokasi kejadian,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dijalankan pagi ini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya