JELI : Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal dan mempunyai masalah penglihatan hilang tanpa jejak lebih dua minggu lalu selepas keluar dari rumah anak saudaranya di Kampung Ayer Sator di sini.
Che Anah Ismail, 57, berkata, adik bongsunya Saidi Ismail, 54, dikatakan telah keluar dari rumah pada 26 September lalu sekitar pukul 10 pagi.
Menurutnya, semasa kejadian anak dan menantu tiada dirumah kerana mereka keluar bekerja sebelum dia dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
“Saya difahamkan, Saidi telah keluar dari rumah dengan menggunakan kerusi rodanya menuju ke jalan utama.
“Saya turut dimaklumkan bahawa Saidi turut meminta tolong daripada salah seorang individu lain untuk menghantarnya ke stesen bas di Machang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Che Anah memberitahu, sebaik mengetahui adiknya di hantar ke stesen bas Machang, dia beranggapan adiknya itu ingin ke rumahnya di Marang, Terengganu.
Katanya, bagaimanapun dia menunggu kedatangan adiknya ke rumahnya, namun tidak kunjung tiba sehingga hari ini.
“Biasanya dia akan menumpang bas untuk pergi ke rumah saya, namun kali ini dia tidak kunjung tiba dan saya risau dengan keselamatannya memandangkan keadaannya yang OKU.
“Saya amat berharap adik saya berada dalam keadaan selamat dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi saya di talian 011-25456924 atau adiknya, Mohd. Haris Ismail di talian 013-2566117,” ujarnya.-UTUSAN










