Kenapa hanya tular rakaman video Wan Rosdy tersasul sebut 'Palestin hancur'? - Fadzli - Utusan Malaysia

Kenapa hanya tular rakaman video Wan Rosdy tersasul sebut ‘Palestin hancur’? – Fadzli

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) mengakui tersasul menyebut ‘Palestin hancur’ ketika berucap pada Himpunan Pahang4Palestine di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Niat pihak tidak bertanggungjawab hanya menularkan di media sosial rakaman video Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tersasul menyebut ‘Palestin hancur’ ketika Himpunan Pahang4Palestine di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini semalam dipersoalkan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, ini kerana Menteri Besar mengakui beliau tersasul dan minta kesilapan tersebut tidak dihebahkan kepada umum.

“Yang Amat Berhormat Menteri Besar langsung tidak berhasrat menyokong Israel. Takkanlah Menteri Besar nak sokong Israel, kita tahu itu khilaf.

“Jadi kenapa masih hendak diviralkan kesilapan tersebut? Apa niat disebalik semua ini?,” soalnya dalam rakaman video di sini hari ini.

Semalam, tular rakaman video berdurasi 20 saat itu, yang disunting memetik Wan Rosdy menyebut ‘Palestin hancur’ sebelum beliau meminta maaf atas kesilapan itu.

Pada himpunan itu semalam, lebih 10,000 orang menyertai himpunan yang dianjurkan kerajaan Pahang itu bagi melahirkan rasa simpati dan solidariti terhadap nasib malang rakyat Palestin yang terus ditindas, dizalimi dan dibunuh rejim Israel.

Mengulas lanjut, Fadzli yang juga penyelaras sekretariat himpunan itu berkata, sebenarnya banyak perkara lain yang boleh dihebahkan kepada umum berhubung Himpunan Pahang4Palestine semalam.

Beliau berkata, antaranya, Pahang menjadi negeri pertama di negara ini menganjurkan himpunan secara besar-besaran sebagai tanda sokongan kepada Palestin.

“Kedua, Menteri Besar umumkan kerajaan negeri sumbang RM100,000 untuk Tabung Pahang4Palestine. Ketiga, Menteri Besar dengan nada tegas dan berani kecam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana gagal ambil tindakan tegas terhadap kekejaman Israel,” katanya.

Sepatutnya beliau berkata, perkara-perkara sedemikian yang ditularkan kepada umum, bukan kesilapan tutur kata Menteri Besar yang sudah pun mengakui tersasul.

“Sebagai manusia kita tidak terlepas untuk melakukan sebarang kesilapan. Yang penting Allah SWT tahu isi hati Menteri Besar Pahang.

“Pada saya, janganlah kita semata-mata nak menarik perhatian, nak mengejar populariti, nak meningkatkan view dan like sanggup sebar berita-berita yang boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat…sebarkan berita yang tepat dan bagus,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya