SHAH ALAM: Seorang mahasiswa sebuah universiti tempatan ditahan polis dekat Seksyen 7, di sini, semalam, selepas disyaki mengekori dan mengganggu seorang mahasiswi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, suspek juga dikesan dalam sebuah rakaman kamera litar tertutup yang tular menunjukkan lelaki itu mengambil kasut di hadapan sebuah rumah.
Katanya, suspek kemudian menghidu kasut yang diambilnya itu dekat sebuah apartment di Seksyen 7.
“Dalam kejadian itu, mangsa yang juga seorang mahasiswa universiti awam mendakwa diganggu dan diekori berkali-kali oleh lelaki yang sama dalam rakaman CCTV tersebut.
“Rakaman itu tular sejak April 2026, (suspek mengekori mangsa) sehingga kini ketika berada di tempat pengajian serta di kawasan rumah,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, susulan laporan diterima kira-kira pukul 8.30 malam tadi, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menahan suspek di kawasan sama.
“Semakan mendapati, suspek berusia 20-an itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah serta ujian saringan awal air kencing juga negatif sebarang penggunaan dadah.
“Permohonan reman terhadap suspek dibuat dan disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menghendap yang dilakukan secara berulang kali. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda,” jelasnya.
Katanya lagi, mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut mengenai kes itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Sabryna Taha di talian 014-5130450. – UTUSAN










