Kanak-kanak lelaki maut, bayi enam bulan parah, kereta dipandu ibu terbabas di Merapoh - Utusan Malaysia

Kanak-kanak lelaki maut, bayi enam bulan parah, kereta dipandu ibu terbabas di Merapoh

KERETA Toyota Vios yang terbabas setelah merempuh penghadang besi mengakibatkan seorang kanak-kanak maut dalam kemalangan di Kilometer 57, Jalan Lipis-Merapoh di laluan Central Spine Road di Lipis, Pahang. - FOTO/IHSAN: IPD LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 57, Jalan Lipis ke Merapoh di laluan Central Spine Road (CSR) di sini.

Mangsa, Muhammad Ali Anaqi Mohd. Ilham yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Panggong, Pasir Puteh, Kelantan meninggal dunia pada pukul 12.05 pagi hari ini.

Semasa kejadian kira-kira pukul 6 petang semalam, mangsa yang berada di tempat duduk belakang kiri kereta yang dipandu oleh ibunya, Nursaryanie Sabri, 32, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, hasil siasatan polis, kereta jenis Toyota Vios yang dipandu Nursaryanie ditumpangi bapanya berusia 60 tahun, adiknya berusia 23 tahun dan empat orang anaknya berusia antara enam bulan hingga tujuh tahun dalam perjalanan dari Pasir Puteh ke Kuala Lumpur.

“Setibanya di tempat kejadian, pemandu kereta ini dipercayai hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang jalan di sebelah kiri laluan dan terbabas.

“Akibat kemalangan ini, anak pemandu, Muhammad Ali Anaqi dibawa ke Klinik Kesihatan Merapoh untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Menurut Azli, polis menerima maklumat daripada petugas perubatan mangsa meninggal dunia di Hospital Kuala Lipis pada pukul 12.05 pagi hari ini sewaktu mendapatkan rawatan.

“Mayat kanak-kanak tersebut akan dibedah siasat selepas memperoleh keputusan ujian saringan Covid-19 hari ini,” katanya.

Beliau berkata, seorang lagi anak pemandu kereta, Nuh Nabhan yang berusia enam bulan cedera parah, manakala bapa dan dua orang anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan serta Nursaryanie dan adiknya cuma cedera ringan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca kecuaian pemandu kereta berkenaan gagal mengawal kenderaannya,” katanya.

Ujarnya, kes kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya