Kami menangis tengok harga padi turun – Petani

Kami menangis tengok harga padi turun – Petani

SEKUMPULAN pesawah yang mengadakan bantahan secara aman bagi menggesa kerajaan campur tangan dalam isu pengilang menurunkan harga belian padi di Alor Janggus, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: “Kami menangis tengok harga turun kerana sekarang ini kos buat bendang semakin tinggi. Kalau RM1,700 itu selesalah sikit kami, tetapi harga RM1,250 itu memang teruk. Kalau boleh kami semua mahu lari saja, tidak mahu buat bendang tetapi inilah saja kerja kami mampu buat.”

Itu luahan hati seorang pesawah, Lim Han Bon, 38, dari Kampung Kuar Jawa, Alor Janggus di sini terhadap tindakan pengilang menurunkan harga belian padi di ketika lebih 50 peratus pesawah di situ masih belum menuai hasil padi mereka.

Katanya, cuma 50 orang pesawah sahaja yang sempat me­rasa harga padi RM1,700 satu tan, malah, harga baharu itu lebih rendah daripada harga musim lalu iaitu RM1,280 satu tan.

Memuatkan artikel berkaitan…

BANTAHAN

Han Bon adalah antara sekumpulan 30 petani yang mengadakan bantahan secara aman terhadap penurunan harga belian padi sejak 3 Oktober lalu.

Salah lagi pesawah, Salleh Ali, 60, penurunan harga tersebut disifatkan melampau dan kembali menghimpit petani yang terdiri daripada golongan pendapatan rendah.

“Kami percaya ini terjadi kerana agensi yang terlibat lepas tangan dan biarkan harga padi ditentukan oleh pengilang. Petani kini jadi orang yang tidak diambil peduli oleh kerajaan.

“Dengan harga RM1,250 yang ditetapkan pengilang, kami hanya memperoleh keuntungan sekitar RM30 setiap relung,” katanya.

Sehubungan itu, Salleh yang juga Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Sungai menggesa kerajaan campur tangan dalam isu tersebut bagi meringankan beban petani.

“Kami berharap seandainya harga berkenaan tidak dapat dikembalikan kepada RM1,700 cukuplah dengan RM1,500 satu tan supaya petani dapat bernafas,” ujarnya.

Mohd. Sobri Osman, 60, pula berkata, penurunan harga belian padi itu hanya akan menjerumuskan para petani kepada kancah kemiskinan yang berterusan.

“Kos mengerjakan bendang termasuk menuai kini semua sudah naik. Harga mesin padi dan traktor pun sudah naik RM10 serelung apabila dengar harga padi naik tetapi kini harga padi turun semula.

“Jadi kos ini akan terus menghimpit petani. Kita sangat berharap kerajaan dan agensi terlibat serius menangani perkara ini. Harga RM1,250 ini tidak akan merubah hidup petani. Di Perak pengilang beli dengan harga RM1,400 hingga RM1,500 per tan, takkan kami perlu jual di sana,” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×