ISKANDAR PUTERI: Premis perjudian berselindung di sebalik perniagaan lain seperti kedai telekomunikasi dan tambah nilai, kedai runcit dan pasar raya mini bagi mengaburi pihak berkuasa.
Walau bagaimanapun, muslihat itu tidak bertahan lama selepas aktiviti perjudian itu terbongkar dan diserbu pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Rahmat Ariffin berkata, 11 premis yang dijadikan sebagai pusat perjudian diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan hasil siasatan mendapati premis berkenaan telah beroperasi antara enam hingga lapan bulan.
“Hasil tindakan ini menjadikan pemotongan bekalan elektrik bagi tahun ini dari Januari sehingga bulan lalu membabitkan sejumlah 18 premis. Sejak awal tahun hingga 27 September lalu, sebanyak 92 serbuan telah dilakukan dan seramai 94 individu telah ditangkap yang dipercayai terlibat aktiviti perjudian loteri awam tanpa lesen dengan nilai rampasan berjumlah RM11,375.
“Dalam tempoh sama, polis turut membuat 50 serbuan terhadap aktiviti perjudian secara online dengan menahan 73 tangkapan dan membuat rampasan berjumlah RM16,582 bagi kawasan Iskandar Puteri,” katanya dalam sidang akhbar selepas Op Pemotongan Elektrik dengan kerjasama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata, pengusaha premis perjudian itu adalah individu berbeza namun pihaknya yakin penganjurnya adalah dalam kalangan sindiket sama serta sering bertukar lokasi.
Katanya, pada tahun ini seramai 68 pekerja premis perjudian berusia antara 18 hingga 30 tahun juga didakwa di mahkamah.
“Tindakan secara berterusan akan diambil bagi menangani aktiviti haram dan orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan aktiviti perjudian di sekitar Iskandar Puteri boleh menyalurkan maklumat tersebut kepada polis.
“Polis juga menasihati pemilik premis lebih berhati-hati dan mengenal pasti latar belakang penyewa supaya tidak memberi ruang kepada aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya. – UTUSAN