Johor bantu syarikat perbanyak stesen pengecas EV - Utusan Malaysia

Johor bantu syarikat perbanyak stesen pengecas EV

ONN HAFIZ GHAZI mengecas kereta elektrik Tesla sempena Majlis Pelancaran Tesla Super Charger di Sunway Big Box, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan membantu pelbagai syarikat yang terlibat dengan kenderaan elektrik (EV) untuk memperbanyakkan stesen pengecas kenderaan tersebut di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, usaha itu selari dengan hasrat pihaknya membangunkan teknologi hijau dalam merealisasikan misi Maju Johor 2030.

Justeru, pihaknya mengalu-alukan syarikat Tesla yang memilih Johor sebagai destinasi kedua stesen ‘super charger’ mereka di negara ini.

“Kami difahamkan, pengguna kenderaan Tesla di Johor adalah kedua teramai di Malaysia selepas Kuala Lumpur. Itu antara faktor mengapa mereka memilih membuka stesen pengecas ini di sini

“Saya percaya usaha ini akan meningkatkan lagi kunjungan pemilik kenderaan Tesla termasuk dari Singapura untuk lebih kerap berkunjung ke negeri ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Stesen Super Charger Tesla di pusat beli-belah Sunway Big Box, di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ting Han berkata, selain Tesla, terdapat beberapa syarikat lain sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini bagi mewujudkan stesen pengecas EV di lokasi bersesuaian.

“Indikator utama sesebuah stesen pengecas EV dibina adalah bergantung dengan data pengguna mereka, di mana lokasi kegemaran mereka dan apakah laluan digunakan, itu akan menjadi faktor penentu lokasi stesen diwujudkan,” jelasnya.

Stesen pengecas ‘super charger’ Tesla di Iskandar Puteri ini merupakan stesen kedua seumpamanya yang dibuka selepas lokasi pertama di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur pada Ogos lalu.

Pemilihan lokasi tersebut dibuat dengan mengambil kira kawasan strategik yang menghubungkan Malaysia dan Singapura, sekali gus turut memudahkan pengguna kenderaan Tesla dari republik berkenaan apabila mereka mengunjungi negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya