PUTRAJAYA: Orang ramai perlu istiqamah dan tidak berhenti separuh jalan dalam memberi sokongan dan bantuan kepada penduduk Palestin yang kini menjadi mangsa keganasan rejim Zionis Israel.
Selebriti popular, Noor Neelofa, 34, berkata, penduduk Palestin memerlukan sokongan yang berterusan selepas begitu lama ditindas oleh Israel dan hilang segalanya.
“Saya benar-benar berharap, semangat dan solidariti terhadap rakyat Palestin ini bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Kita kena teruskan bantuan dan peduli dengan nasib saudara Islam di sana,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui.
Menurutnya, beliau melihat gelombang kesedaran penindasan Israel terhadap rakyat Palestin oleh penduduk seluruh dunia termasuk bukan Islam sebagai petanda positif.
Katanya, ini kerana keadaan itu berbeza dengan sebelum ini di mana ramai tidak prihatin dengan nasib rakyat di negara tersebut.
“Sebelum terjadi gelombang baharu ini, kita dapat tengok, ada yang ambil tahu, ada yang faham, ada yang tak faham dan tak peduli pun. Tetapi sekarang, semakin ramai yang ambil tahu dan faham dengan apa yang terjadi,” katanya.
MISI
Dalam pada itu katanya, dia dan suami, penceramah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail, hampir menyertai misi kemanusiaan di Gaza bagi menghulurkan bantuan sumbangan kepada rakyat yang terjejas di negara tersebut sekitar dua tahun lalu.
Neelofa berkata, hasrat murni tersebut bagaimanapun terpaksa ditangguhkan memandangkan keadaan keselamatan di daerah tersebut yang tidak meyakinkan.
“Bagaimanapun, perancangan itu terpaksa ditangguhkan kerana kami dimaklumkan berlaku gencatan senjata di daerah Gaza ketika itu. Jadi, saya dan Haris akur dengan keadaan yang tidak mengizinkan,” katanya.
Jelas Neelofa, meskipun tidak menyertai misi tersebut, dia dan suami masih meneruskan sumbangan kepada saudara Islam di Palestin dari semasa ke semasa terutama apabila mengenang nasib malang yang menimpa anak-anak kecil di sana.
“Lagi-lagi saya dan Haris kini sudah mempunyai dua anak lelaki yang masih kecil. Jadi, mengenangkan kezaliman yang berlaku terhadap anak-anak kecil di sana, hati kami sangat terkesan berbanding sewaktu kami belum ada anak,” katanya. – UTUSAN










