REMBAU: Seorang wanita maut manakala suaminya cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan tiga buah kenderaan termasuk lori dalam kejadian di Kilometer 234.8, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, dalam nahas kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Chan Poh Lim, 53, beralamat di Taman Sri Terendak, Sungai Udang, Melaka, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian.
Menurutnya, suami mangsa, Lee Boon Poh, 58, iaitu pemandu sebuah kereta jenis Toyota Camry mengalami kecederaan pada bahagian kepala, dada dan kaki.
“Kemalangan ini membabitkan tiga buah kenderaan iaitu dua buah kereta jenis Toyota Camry dan lori jenis Hino. Siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki suami isteri itu di lorong kanan dari arah Air Keroh menghala ke Senawang.
“Sampai di tempat kejadian, kereta itu mengalami masalah kerosakan enjin dan berhenti di lorong kanan. Kemudian datang sebuah lagi kereta dari jenis yang sama dari laluan yang sama tidak dapat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta yang dinaiki suami isteri itu.
“Pelanggaran itu menyebabkan kereta dinaiki pasangan suami isteri itu menggelongsor ke hadapan dan melanggar sedikit penghadang tengah lebuh raya. Manakala, sebuah lagi kereta berpusing dan melanggar bahagian kanan hadapan lori yang berada di lorong perlahan lebuh raya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ujar Hazri lagi, akibat daripada kemalangan berkenaan penumpang hadapan telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala kedua-dua pemandu kereta mengalami kecederaan parah dan telah dibawa oleh pihak ambulans ke Hospital Rembau untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurutnya, mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau dan proses bedah siasat akan dijalankan pada 9 pagi esok.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya lagi.-UTUSAN.










