Insinerator WTE di Jeram selamat - MB

Insinerator WTE di Jeram selamat – MB

WTE Arang Batu
AMIRUDIN Shari melihat replika insinerator dalam majlis pecah tanah pembinaan tapak projek Sisa kepada Tenaga (WTE) di Jeram, Kuala Selangor. -UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kerajaan negeri memberi jaminan projek pembinaan loji termal terbesar di negara ini di Rawang dekat sini untuk melupuskan sampah dan dijadikan sebagai tenaga atau Waste-To-Energy (WTE) selamat dan mesra alam.

Malah, insinerator tersebut turut digunakan di negara-negara maju seperti Jepun dan China yang didakwa selamat dan tidak membahayakan penduduk berbanding pelupusan sampah secara konvensional.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau tidak menafikan wujud kebimbangan terhadap risiko daripada operasi insinerator tersebut, namun yakin teknologi tersebut mampan seperti digunakan di negara-negara lain sebagai kaedah pengurusan sampah dan penjanaan tenaga.

Katanya, lawatan ke loji serupa telah diadakan dari tahun 2008 hingga 2019 di luar negara termasuk melibatkan mereka sebahagiannya yang membantah.

“Saya rasa kita percaya kepada teknologi, tengok macam mana ia beroperasi dan kita lihat di beberapa negara yang selamat macam Jepun, China ataupun negara lain. Di Selangor itu (WTE) yang pertama, tetapi terbesar di Malaysia,” katanya selepas merasmikan pecah tanah pembinaan loji termal Waste-To-Energy (WTE) Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC) Jeram di sini semalam.

Beliau mengulas sekumpulan individu mewakili penduduk di Rawang yang berhimpun secara aman bagi membantah pembinaan loji termal WTE di laluan masuk di kawasan tapak projek WTE Jeram.

Projek berkenaan mendapat bantahan daripada penduduk berdekatan loji berkenaan antaranya Batu Arang, Kota Puteri, Bandar Tasik Puteri, Bandar Seri Coalfields dan Caledonia.

Dalam pada itu Menteri Besar berkata, projek itu selain menjana tenaga, ia juga dapat menangani unjuran peningkatan jumlah pelupusan sampah berdasarkan pertambahan penduduk di negeri ini.

“Keseluruhan kita ada lebih kurang 7,000 tan sampah sehari, dengan unjuran pertambahan penduduk boleh menjadi 8,000 hingga 9,000 tan sehari dalam tempoh lima tahun akan datang,” ujarnya.

Namun, Amirudin menjelaskan, insinerator yang dibina itu bukan seperti pada tahun 1990-an atau awal 2000 dan memaklumkan perkara itu sudah berulang kali diterangkan termasuk pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pembinaan loji termal itu bermula semalam dan dijangka mula beroperasi pada 2026 untuk mengurangkan pembuangan di tapak pelupusan dan menjana tenaga sehingga 52 megawatt (MW).

Projek yang dibina di atas tanah seluas 12 hektar itu dijangka mampu menguruskan sisa pepejal sebanyak 3,000 tan metrik sehari iaitu hampir separuh daripada pelupusan biasa iaitu sektiar 7,000 tan.

“Kena ingat, landfill (tapak pelupusan) akan menyebabkan tanah itu tak boleh dibangunkan untuk 20 hingga 35 tahun dan itu amat merugikan serta masih lagi mendedahkan sebarang sisa ataupun lalat (serangga perosak) dan sebagainya kalau tidak diuruskan dengan betul.

“Setakat ini, kita menguruskannya dengan baik, tetapi isu besarnya adalah saiz dan guna tanah yang akan lebih luas untuk menjadi tapak pelupusan sampah. Saya rasa ini adalah teknologi terkini paling selamat dan sesuai untuk diuruskan (sampah pepejal) di kawasan majoriti bandar (berkepadatan tinggi) seperti di Selangor,” katanya.

Kerajaan negeri pada 2018 mengumumkan pembinaan loji termal ISWMC menerusi Worldwide Holdings Berhad (Worldwide) bernilai RM500 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN