Harap peristiwa Nakba tidak berulang

Harap peristiwa Nakba tidak berulang

ISLAM MOHAMMED HASHIM ALHADMI (kiri) dan HAMZA NASRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Ahli keluarga pelajar dari Palestin, Hamza Nasri masih berada di kawasan kediaman mereka di Rimal, Gaza walaupun tidak berada dalam pangsapuri yang menjadi sasaran rejim zionis.

Hamza, 19, yang merupakan pelajar Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, bapanya, Nasri M. Alifranji, 55, seorang doktor gigi dan ibunya, Rima Alrayes, 49, bersama tiga adik beradiknya kini berlindung di kawasan meletak kenderaan.

Katanya, setiap hari dia hanya memikirkan nasib ahli keluarganya tetapi perlu fokus dalam pengajian.

BERPINDAH

“Arahan dikeluarkan supaya penduduk Gaza mengosongkan kediaman masing-masing tetapi keluarga saya tidak berpindah kerana tidak mahu peristiwa Nak­ba berulang.

Baru-baru ini, tentera Israel mengarahkan lebih sejuta penduduk Palestin meninggalkan kediaman di utara Gaza yang dilihat seolah-olah mengulangi peristiwa Nakba yang berlaku pada 1948.

“Saya berdoa kemelut ini berakhir dan rakyat Palestin selamat. Saya juga berharap kami dapat bina semula Palestin,” katanya yang menyaksikan peperangan di negaranya sejak berusia empat tahun.

Katanya, dia juga mendapatkan bantuan rakan-rakan di sana untuk menghubungi keluarga bagi memastikan mereka dalam keadaan selamat.

Tambahnya, dia pernah melihat sendiri bangunan kediaman di kawasan kejiranannya musnah teruk akibat letupan bom pada jarak kira-kira 300 meter sahaja hingga dia merasakan gegaran kuat, selain menyebabkan tingkap rumahnya pecah.

Hamza berkata, selepas tamat pengajian kelak dia ingin kembali ke Palestin dan berbakti kepada rakyat di sana dengan mengajar mereka setelah menimba ilmu dan pengalaman di UUM.

MEROSAKKAN

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Keusahawanan UUM, Islam Mohammed Hashim Alhadmi, 21, yang berasal dari Hebron turut pernah melalui situasi sama akibat peperangan apabila tentera Israel memecah masuk kediaman mereka pada waktu malam dan merosakkan harta benda.

ANTARA kesan kerosakan yang dialami keluarga Islam Mohammed Hashim akibat serangan tentera rejim zionis di Hebron.

“Kami melalui situasi yang berbeza berbanding penduduk di Gaza kerana kawasan kami berhampiran dengan peneroka haram Yahudi dan tentera Israel di mana mereka boleh masuk mana-mana rumah pada bila-bila masa walaupun waktu malam.

“Mereka juga pernah musnahkan kereta abang saya, namun tiada apa mampu dilakukan ketika itu kerana kami tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menghalang tindakan mereka,” katanya.

Islam berkata, dia pernah terputus hubungan dengan keluarga, namun dimaklumkan mereka dalam keadaan baik malah ibu bapanya meminta dia menjaga diri sepanjang berada di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN