PETALING JAYA: Seperti diduga, pelumba motosikal negara, Hafizh Syahrin tidak lagi akan beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) selepas kontraknya bersama Petronas MIE Racing Honda tidak lagi disambung.
Perlumbaan di Litar Jerez, Sepanyol kelmarin juga menjadi perlumbaan terakhir Hafizh bersama pasukan Jepun itu apabila dia meraih kedudukan ke 15 pada perlumbaan pertama, dan kemudian turun ke kedudukan ke-19 pada perlumbaan kedua.
Secara keseluruhan, pelumba berusia 29 tahun ini mengumpul 11 mata untuk berada di kedudukan ke 21 pada musim, naik dua anak tangga jika dibandingkan dengan penampilan sulungnya pada tahun lalu.
“Musim yang panjang dengan (prestasi) tidak menentu tetapi saya sentiasa memberikan yang terbaik dan sebelum mengalami kecederaan, saya sentiasa berada di zon pungutan mata. Saya fikir, kami memperoleh rentak yang baik pada pusingan terakhir ini.
“Meraih satu mata dan mampu mengekalkan kedudukan walaupun dihimpit kesukaran. Kami bekerja dalam suasana profesional dan sudah memberikan yang terbaik di sepanjang musim,” jelas Hafizh.
Destinasi Hafizh selepas ini berkemungkinan akan kembali semula ke Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) apabila dia dilihat bergambar dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Terdahulu, TMJ yang menerajui pasukan Johor Darul Takzim (JDT) merancang untuk menubuhkan pasukan pemotoran, JDT Racing Team untuk bersaing di ARRC pada musim hadapan. – UTUSAN










