JOHOR BAHRU: Seramai 20,000 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negeri ini bakal menerima manfaat daripada geran pendigitalan sebanyak RM100 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, Jumaat lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, usahawan terbabit turut meliputi mereka yang beroperasi di kawasan luar bandar.
“Peruntukan ini dapat digunakan dalam menaik taraf sistem jualan, inventori dan perakaunan digital, bertepatan dengan inisiatif pendigitalan perniagaan dibawa oleh kerajaan negeri.
“Pada waktu sama, RM900 juta dana pinjaman disediakan Bank Negara untuk menggalakkan syarikat PMKS meningkatkan produktiviti perniagaan menerusi automasi dan pendigitalan.
“Malah, peranan Pusat Ekonomi Digital di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terus diperkasakan bagi menyokong pengusaha kecil menjual produk secara dalam talian dengan peruntukan RM25 juta boleh dimanfaatkan bagi keusahawanan digital,” katanya.
Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin menyambut baik hasrat kerajaan meneruskan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dengan peruntukan RM20 juta.
Katanya, program itu telah melahirkan lebih 7,000 usahawan belia Bumiputera dan mewujudkan hampir 14,000 peluang pekerjaan termasuk di negeri ini.
“Selain itu, peruntukan RM6.8 bilion untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memulakan usaha merombak pendidikan TVET negara menerusi kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta juga bakal memberi manfaat kepada golongan sasar.
“Insya-Allah, menerusi kerjasama antara Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar, Kota Tinggi, akan disediakan khidmat pelatih industri, pembangunan kurikulum dan peralatan yang memenuhi spesifikasi industri petrokimia di Pengerang.
“Kerjasama itu akan dikembangkan lagi di Johor menerusi GLC dan institusi penyedia latihan kemahiran,” jelasnya.
Beliau turut menunggu pembentangan Belanjawan Johor 2024 oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dijangka bakal menyentuh segenap aspek keperluan Bangsa Johor, November ini. – UTUSAN










