Dua kapal ditahan pindah minyak secara haram - Utusan Malaysia

Dua kapal ditahan pindah minyak secara haram

KAPAL yang ditahan disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan Johor Timur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Dua buah kapal yang berdaftar di Panama dan Honduras ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan Johor Timur petang semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dua kapal terbabit  dikesan bot ronda Maritim Malaysia disyaki melakukan aktiviti pemindahan dari kapal ke kapal di kedudukan 32.1 batu nautika timur Tanjung Sedili pada pukul 12.35 tengah hari. 

Kedua-dua kapal tersebut enggan memberikan kerjasama untuk diperiksa sehingga memaksa pihak Maritim Malaysia meminta bantuan dari Bahagian Operasi Udara dan Pasukan Tindakan Khas (PTK) bagi melakukan pemeriksaan di atas kapal.

Pihaknya menggunakan pesawat udara AS 365 Dauphin milik Maritim Malaysia bersama tiga anggota PTK sebelum berjaya menahan kedua-dua kapal tersebut.

“Kedua-dua kapal terlibat yang didaftarkan di Panama dan Honduras itu berjaya ditahan pada pukul 6 petang. 

“Kapal tangki pertama yang berdaftar dari Panama dikendalikan oleh 26 kru berumur antara 23 hingga 54 tahun, manakala kapal tangki kedua yang berdaftar di Honduras dikendalikan oleh 26 kru berumur antara 21 hingga 51 tahun.

“Hasil siasatan mendapati nakhoda kapal terbabit telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran atas aktiviti yang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini  

Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 bagi kesalahan melakukan aktiviti kapal ke kapal tanpa kebenaran dan Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran.  

Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. 

Nakhoda kedua-dua kapal berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Maritim Malaysia memberi amaran dan ingin mengingatkan supaya semua kapal yang menjalankan aktiviti di perairan Johor mematuhi undang-undang bagi mengelakkan tindakan tegas diambil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN