DAP tidak pernah amal dasar anti institusi diraja - Utusan Malaysia

DAP tidak pernah amal dasar anti institusi diraja

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Anthony Loke Siew Fook pada sidang akhbar selepas Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan di Seremban hari ini-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: DAP tidak pernah mengamalkan dasar anti institusi diraja sebaliknya sangat menghormati institusi tersebut walaupun parti itu menetapkan dasar untuk tidak menerima sebarang anugerah dan darjah kebesaran.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, dasar DAP adalah untuk menjunjung semangat Raja Berperlembagaan serta mengakui institusi diraja penting sebagai ketua negara dan negeri masing-masing.

“Kami memang mempertahankan dan menghormati institusi diraja,  lebih sesuai untuk pemimpin DAP berkhidmat terlebih dahulu sebagai wakil rakyat dan meneruskan kerja sehingga bersara sebelum dicadangkan untuk diberikan sebarang penganugerahan darjah kebesaran.

“Dasar parti lain terpulanglah, DAP baru penggal kedua dalam kerajaan Persekutuan dan di Negeri Sembilan. Saya rasa wakil rakyat masih muda-muda ni biarlah bekerja terlebih dahulu.

“Umpamanya ahli-ahli Exco (DAP) beri nama untuk dipertimbangkan, masih muda 40-an, saya sendiri sebagai menteri, kami berterima kasih cadangkan.

“Kami bukan mahu tolak, cuma kami kata tidak sesuai. Kami cadangkan nama yang telah berkhidmat dan bersara, dapat atau dapat terpulanglah, jadi kami harap ini (dasar) tidak disalah tafsirkan kononnya kamj berasa angkuh atau melawan raja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Mengulas mengenai Ketua Biro Dasar DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin yang telah dianugerahkan darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) sempena Hari Lahir Ke-70 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin baru-baru ini, Siew Fook memaklumkan DAP akan bermesyuarat terlebih dahulu mengenainya.

Sementara itu, Siew Fook menyeru masyarakat untuk menghindarkan diri daripada mengamalkan politik ekstrim dalam negara ini kerana tindakan berkenaan akan membawa kepada perpecahan.

“Umpamanya di Parlimen, kamj (DAP) dikafirkan, itu sesuatu yang sangat tidak patut bagi saya dan rakan-rakan kami daripada pemimpin Islam pun tidak bersetuju dengan cara tersebut untuk kafirkan orang lain.

“Sesuatu yang sangat-sangat bahaya sebab bila (digelar) kafir harbi, adakah DAP musuh kepada orang Islam. Kami bukan musuh orang islam, DAP bukan musuh kepada mana-mana agama. 

“Apa yang parah lagi, kalau kita menanam minda tersebut kepada kepada anak-anak muda ia akan menjadi ekstrim dari segi pemikiran mereka,” katanya.

Menurutnya, pemikiran seperti itu perlu dihindarkan dan Malaysia mestilah kekal aman, dan harmoni. 

“Isu politik selesai secara politik.. itu yang kami tekankan, kita lawan politik biasalah, kami lawan UMNO berpuluh-puluh tahun, kita boleh berkawan hari ini tidak ada masalah.

“Kita lawan dengan hujah tetapi jangan gunakan unsur kaum dan agama. Itu sangat bahaya terutamanya dalam konteks hari ini, banyak negara ke arah kancah kehancuran sebab konflik agama yang dibawa oleh pihak-pihak yang ekstrim,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN