PETALING JAYA: Kerajaan menyediakan RM160 juta untuk menyokong penggiat seni serta menggalakkan penghasilan lebih banyak karya seni di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia antaranya RM60 juta di bawah Dana Kandungan Digital untuk mempromosi karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan.
Selain itu, RM90 juta di bawah inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI) untuk terus menggalakkan penghasilan filem bertaraf antarabangsa dan RM10 juta bagi menyediakan Skim Dana Padanan MyCreative dalam menyokong anak-anak seni dalam penghasilan projek kreatif.
“Susulan keputusan Negeri Selangor yang menurunkan kadar duti hiburan, Kerajaan turut bercadang untuk menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu.
“(Iaitu) pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis tempatan; pengurangan kepada lima peratus duti hiburan bagi taman tema, pusat rekreasi keluarga, pusat permainan indoor dan simulator serta pengurangan kepada 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis antarabangsa dan acara hiburan lain seperti tayangan filem serta acara sukan dan permainan.
“Saya turut menyeru kerajaan negeri supaya dapat mempertimbangkan pengurangan duti hiburan yang dilihat mampu menyokong perkembangan bakatbakat kreatif tempatan di samping merancakkan lagi aktiviti pelancongan negara,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat di sini hari ini. – UTUSAN










