Asrama SMK Seri Kenangan terbakar lagi, kejadian kedua dalam tempoh 3 bulan - Utusan Malaysia

Asrama SMK Seri Kenangan terbakar lagi, kejadian kedua dalam tempoh 3 bulan

PIHAK bomba memadamkan kebakaran sebuah blok asrama puteri di SMK Seri Kenangan, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Penghuni sebuah blok asrama pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan Batu Anam, di sini bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila bangunan tersebut  terbakar malam tadi.

Lebih menyedihkan, kejadian itu adalah kali kedua menimpa sekolah tersebut dalam tempoh tiga bulan selepas bangunan asrama lelaki terbakar awal Julai lalu. 

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Segamat, Penolong Penguasa Bomba Muhd. Hazim Abdul Razak, pihaknya menerima panggilan kecemasan, pada pukul 7.40 malam dan seramai 18 anggota dengan lima jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati berlaku kebakaran bangunan asrama dua tingkat di Blok B asrama puteri, iaitu melibatkan sebuah daripada sembilan bilik asrama keseluruhannya.

“Kebakaran melibatkan bilik di bahagian bawah telah memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan bilik tersebut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Muhd. Hazim memberitahu, terdapat 18 penghuni sewaktu kejadian telah berjaya keluar dengan selamat. 

“Seramai 18 pelajar perempuan terdiri daripada tingkatan satu hingga lima dilaporkan menghuni bilik asrama berkenaan.

“Selain kemusnahan ruang bilik asrama, 10 unit katil bertingkat turut hangus dalam kebakaran. Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Kebakaran berjaya dikawal pukul 8.14 malam dan operasi ditamatkan pada 9.30 malam. Punca kejadian dan anggaran kerugian yang masih dalam siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN