KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini menerima 100 unit kanta mata sumbangan Lions Club International (Lions) bagi membantu pesakit katarak daripada golongan B40 yang mendapat rawatan di pusat kesihatan berkenaan
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, sumbangan setiap tahun itu dilakukan oleh Lions menerusi Yayasan Klinik Mata Lions (IOL).
“Sumbangan IOL daripada pihak Lions ini membolehkan pakar-pakar kita di HRPZ II dan juga Hospital Sultan Ismail Petra menjalankan pembedahan ke atas pesakit-pesakit katarak yang kurang berkemampuan.
“Saya difahmakan setiap IOL yang disumbangkan bernilai antara RM500 sehingga RM1,000 bergantung kepada jenisnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Sumbangan Kanta Intraokular dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Lions Club International dan HRPZ II, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Abdul Haris Muhammad, Gabenor Daerah Lions Club International, Alex Ooi Thiam Poh dan Pengerusi IOL Datuk Dr. J.P Kamalanatha.
Dr. Zaini memberitahu, katarak adalah ancaman utama bagi mereka yang mempunyai masalah penglihatan sama ada rabun atau kebutaan tetapi jika dikesan lebih awal, ia mampu dirawat dan disembuhkan sekali gus memberi harapan baharu kepada pesakit.
Katanya, sehubungan itu adalah menjadi hasrat pihaknya untuk melihat pesakit-pesakit katarak di Kelantan mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik terutamanya golongan tidak berkemampuan.
“Kita akan guna kaedah-kaedah tertentu serta syarat-syarat yang telah dipersetujui oleh jabatan dan pihak Lions bagi memastikan hanya pesakit yang benar-benar layak termasuk golongan B-40 menerima sumbangan IOL ini.
“Mereka yang berkemampuan tentulah boleh mendapatkan IOL ini dengan mudah melalui perbelanjaan sendiri. Saya percaya dengan kepakaran yang kita ada di hospital-hospital terlibat, kita mampu melaksanakannya dengan baik,” ujarnya.-UTUSAN










