Waspada 7,630 pengundi ‘senyap’

Waspada 7,630 pengundi ‘senyap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH seminggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai berlangsung, namun belum kedengaran parti atau calon yang berpotensi menang sekalipun semua tiga calon setiap hari masuk giat ke kampung dan tanah rancangan Felda untuk memancing undi.

Walaupun semua rumah inap desa telah habis ditempah oleh jentera parti yang datang dari seluruh negara hingga menyebabkan seluruh ceruk kawasan ini dipenuhi orang luar, namun suasana pilihan raya sehingga kini belum menunjukkan siapa bakal menang atau tewas.

Malah maklumat dalaman sama ada Barisan Nasional (BN) mahupun Perikatan Nasional (PN), difahamkan bacaan awal masing-masing belum mampu menarik nafas lega kerana kedua-duanya mengakui dalam kedudukan 50-50 untuk beroleh kemenangan dalam pilihan raya tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang pimpinan parti yang ditemui juga mengakui perkara tersebut sekalipun penyandang sebelum ini, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun meraih majoriti selesa, namun tidak mungkin keadaan sama berlaku kepada calon BN, Datuk Amizar Abu Adam.

Di samping itu, jentera PN pula dikatakan sukar menembusi Pelangai yang dikatakan kubu kuat UMNO meskipun mereka menggunakan taktik isu undi protes dan kenaikan harga barangan sebagai kempen, namun belum cukup untuk menarik sokongan pengundi tegar UMNO dan kebanyakan berumur 40 tahun ke atas.

Hal ini kerana faktor pengundi senyap yang terdiri daripada kumpulan berusia 18 hingga 39 tahun masih belum membuat keputusan parti dan calon yang bakal dipilih kerana dikatakan bersikap tunggu dan lihat sebelum hari pengundian pada 7 Oktober ini.

Dianggarkan terdapat 7,630 pengundi muda daripada 16,456 pemilih berdaftar di Pelangai termasuk 2,000 individu yang tinggal di luar kawasan.

Malah jentera parti dipercayai berdepan kesukaran untuk mela­kukan kajian sikap dan kecende­rungan pengundi tersebut sekali gus sukar membuat jangkaan apakah parti dan siapa calon yang mendahului sokongan atau sebaliknya.

Tidak dinafikan atas kertas setelah mengambil kira keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, BN berpeluang mengekalkan kemenangan selepas dicongak undi Pakatan Harapan (PH), namun ia belum cukup untuk sampai tahap tersebut.

Begitu juga PN, dakwaan berlaku undi protes dalam kalangan ahli dan penyokong UMNO tidak boleh memberi kelegaan kepada parti gabungan itu kera­na mereka perlu menarik kira-kira 30 peratus pengundi bukan Melayu jika mahu merampas kerusi Pelangai daripada BN.

Segala-galanya hanya terjawab pada 7 Oktober dan hanya tinggal baki seminggu untuk semua parti menarik sokongan undi menje­lang saat-saat akhir bermula ming­gu depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×