KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedia berbincang dengan pihak berkaitan untuk mengkaji kemudahan sukan kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini susulan kejayaan Sa’ap Baharom dari suku kaum Bateq di Gua Musang menyertai Akademi Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata, perbincangan itu nanti turut melibatkan penambahbaikan fasiliti yang sedi ada kepada masyarakat berkenaan dalam pembangunan Sukan.
“Kerajaan negeri berbangga dengan kejayaan yang telah ditunjukkan oleh Sa’ap dan berharap dia dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu itu nanti.
“Besar harapan kita (kerajaan negeri) untuk melihat kejayaan Sa’ap itu menjadi contoh kepada masyarakat Orang Asli di Kelantan. Kerajaan negeri mahu mereka (Orang Asli) menempa lebih banyak kejayaan dalam apa jua lapangan selepas ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Ketua Unit Pencarian Bakat dan Pembangunan Belia Johor Darul Takzim (JDT), Diego Griffa terpaksa bermandi ‘peluh’ selama empat jam memujuk serta melamar permata dari masyarakat Orang Asli, Sa’ap Baharom untuk skuad akademi Harimau Selatan.
Difahamkan pemain yang berusia 12 tahun dan mewakili Kelantan ke kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) itu akan ke JDT pada Khamis ini.
Sepanjang kejohanan yang berlangsung di Johor Bharu itu Sa’ap berjaya meledakan 12 gol sekali gus mencuri tumpuan barisan jurulatih Akademi JDT.
Sa’ap ditawarkan kontrak selama tiga tahun untuk menjadi pelatih di akademi berkenaan.-UTUSAN