Tiada agenda untuk persempadanan semula - Mohamad - Utusan Malaysia

Tiada agenda untuk persempadanan semula – Mohamad

MOHAMAD HASAN berucap ketika mengadakan lawatan bersama calon PH, Suhaizan Kayat di Taman Cempaka, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hasrat kerajaan perpaduan yang mahu mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat tiada agenda untuk melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu juga tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Presiden Parti Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, perkara itu akan dibawa ke peringkat majlis tertinggi parti terlebih dahulu untuk dibincangkan kesan baik dan buruknya sebelum dibangkitkan dalam Majlis Presiden Parti Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang perkara itu hanyalah propaganda semata-mata ketika hari-hari terakhir berkempen untuk meracuni pemikiran pengundi.

“Sebagai Ahli Majlis Presiden, saya tidak mendengar agenda itu dibincangkan dan jika ada cadangan seperti itu akan dibawa kepada Majlis Presiden Parti-parti Kerajaan Perpaduan, dan kami akan bincang semula pada Majlis Tertinggi UMNO untuk menilai baik buruknya. Jika pun dibawa dan dibincangkan, kami tidak akan mengurangkan dominan UMNO di sesebuah kawasan.

“Jika dalam Majlis Presiden, sekiranya ada parti-parti yang tidak setuju, kita tidak akan teruskan apa jua cadangan tersebut. Setakat hari, ini belum ada perkara sedemikian yang dibincangkan. Jadi, itu semua dia (Muhyiddin) saja hendak melontarkan tomahan dan propaganda supaya orang jadi takut,” katanya dalam kempen bertemu pengundi bersama calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat di Taman Cempaka, di sini hari ini.

Sabtu lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, kemenangan PN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai cukup penting untuk memastikan kerajaan tidak sesuka hati meminda perlembagaan terutamanya persempadanan semua kawasan pilihan raya.

Katanya, jika PN menang di Parlimen Pulai pada 9 September ini, ia akan menafikan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Menurut Mohamad, kenyataan bekas Perdana Menteri itu hanya propaganda yang dicipta pada saat akhir PRK supaya calon kerajaan terpaduan tidak mendapat sokongan.

“Mereka sudah ada pengundi tegar daripada Pas, jadi mereka hendak pastikan pengundi UMNO sama ada tidak keluar mengundi atau tidak mengundi calon kita. Jadi dia buat kenyataan seperti itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN