Suhaizan mahu tangani isu banjir kilat - Utusan Malaysia

Suhaizan mahu tangani isu banjir kilat

SUHAIZAN KAYAT (dua dari kiri) dan Mohamad Hasan bertemu penduduk setempat ketika mengadakan 'walkabout' di Taman Cempaka, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU:  Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat akan memberi fokus untuk membantu menangani isu banjir kilat di beberapa kawasan tersebut sekiranya diberi mandat, Sabtu ini.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu berkata, isu banjir kilat antara permasalahan utama membelenggu penduduk Pulai yang berada dalam kawasan bandar sehingga mengalami kerugian ribuan ringgit dan kini pihaknya telah mengenal pasti enam lokasi yang kerap berlaku banjir kilat di kawasan tersebut.

“Kita telah kenal pasti titik panas berlakunya banjir kilat, antaranya Skudai Kiri, Ayer Molek, Kampung Pasir, Permatang, Tampoi Indah dan berdekatan Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Kawasan ini berdepan dengan isu banjir kilat saban tahun disebabkan lokasinya yang berdekatan dengan Sungai Skudai seperti Kampung Pasir dan Skudai Kiri,” katanya semasa berkempen bertemu pengundi di Taman Cempaka, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.

Suhaizan yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, masalah lain yang dihadapi masyarakat setempat ialah isu tempat letak kereta di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai yang terlalu padat.

“Insya-Allah kesemua isu ini akan saya beri perhatian selepas diberi mandat oleh rakyat pada Sabtu ini,” tambahnya.

Mengenai dakwaan fatwa haram terhadap dirinya oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Suhaizan memberitahu, kenyataan itu tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang ahli politik yang berpengaruh.

Katanya, Muhyiddin bukan mufti atau seorang yang layak mentafsirkan hal berkaitan agama, apatah lagi meletakkan hukum halal dan haram terhadap seorang.

“Sepatutnya, beliau (Muhyiddin) tidak boleh mengatakan hukum, apatah lagi mengharamkan sesuatu perkara. Saya menganggap beliau (Muhyiddin) silap dalam percakapannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN