Sokongan kepada kerajaan akan diumum kemudian - Syed Saddiq - Utusan Malaysia

Sokongan kepada kerajaan akan diumum kemudian – Syed Saddiq

SYED SADDIQ ABDUL RAHMAN (dua dari kanan) bersama-sama ahli keluarganya menunjukkan jari mereka yang dicelup dakwat sebagai tanda selesai mengundi pada PRK Parlimen Pulai di SK Taman Sutera, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masih belum membuat sebarang keputusan sama ada akan menarik sokongan terhadap kerajaan perpaduan ekoran keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul berkata, keputusan tentang perkara tersebut akan dibuat secara bersama oleh kepimpinan parti dan bukannya keputusan individu.

“Saya orang parti, jadi apa-apa keputusan akan dibuat bersama kepimpinan parti. Hari ini tidak boleh berkempen, kita fokus kepada PRK, nanti akan ada pengumuman,” katanya ringkas apabila ditanya tentang sama ada parti itu akan menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau tidak.

Ditanya siapa calon yang disokong dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, beliau memberitahu undi adalah rahsia.

“Undi itu rahsia, tetapi saya keluar undi pihak yang boleh bersuara untuk rakyat, yang berintegriti dan bermaruah, yang boleh pastikan hak rakyat diutamakan dan bukannya politik sempit.

“Sebelum ini saya ada urusan di Jakarta, tetapi tetap bergegas pulang untuk menunaikan undi. Tanggungjawab saya keluar mengundi dan pastikan keluarga saya juga mengundi.

“Peratusan mengundi rendah, saya harap lebih ramai keluar mengundi sebab wakil yang dipilih akan bersuara untuk rakyat di Parlimen berhubung penggubalan dasar dan isu-isu integriti. Ini penting untuk wakil kita suarakan di Parlimen,” katanya usai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera, di sini hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN