Siasat bekas Peguam Negara salah guna kuasa fitnah Najib kes IPIC - Utusan Malaysia

Siasat bekas Peguam Negara salah guna kuasa fitnah Najib kes IPIC

MOHAMMAD FAKHRUDDIN Mohd. Ariff (tengah) bersama kepimpinan dan ahli UMNO Bahagian Pekan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Pekan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: UMNO Bahagian Pekan membuat laporan polis meminta pihak berkuasa itu menyiasat bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kerana didakwa menyalahgunakan kuasa dengan mengemukakan tuduhan tanpa asas undang-undang dan fakta terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan kes Petroleum Investment Company (IPIC).

Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, pada Ogos lalu, tular memo dalaman daripada Pejabat Peguam Negara yang dihantar pada 10 September 2019 oleh Datuk Jamil Aripin, pendakwa utama kes IPIC yang melibatkan tuduhan terhadap Najib yang kini dihadapkan di Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Katanya, memo dialamatkan kepada Tommy yang merupakan Peguam Negara ketika itu memaklumkan tuduhan terhadap Najib adalah tidak berasas dan seharusnya dibatalkan.

“Selain itu, memo tersebut menunjukkan bahawa tuduhan terhadap Najib telah dibuat sebelum sebarang siasatan yang sewajarnya dijalankan terhadapnya. Memo tersebut menekankan bahawa tidak ada penilaian atau pertimbangan yang betul terhadap bukti sebelum tuduhan dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri tersebut.

“Selanjutnya, memo itu mendapati apabila siasatan dijalankan (selepas tuduhan dibawa ke mahkamah), tiada seorang pun daripada 138 saksi yang ditemu bual menyokong tuduhan tersebut dan tidak menunjukkan sebarang jenayah dijalani oleh Najib.

“Berdasarkan penemuan ini, saya percaya Peguam Negara dan ahli-ahli kerajaan pada masa itu telah menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengemukakan tuduhan terhadap Najib tanpa sebarang asas undang-undang atau fakta. Bagi tujuan politik mereka yang telah menyebabkan mudarat dan fitnah kepada Najib,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini.

Mohammad Fakhruddin berkata, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Saifuddin Hashim Musaimi dilaporkan oleh media hanya menjawab “Tiada Komen” apabila diajukan soalan tentang memo dalaman ini oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin semasa prosiding sebutan kes itu di mahkamah, Jumaat lalu.

“Saya membuat laporan polis ini supaya polis menyiasat perkara ini di bawah Seksyen 167 Kanun Keseksaan berkenaan penyediaan dokumen yang salah (iaitu tuduhan dan izin untuk mendakwa oleh Peguam Negara) dengan niat jenayah untuk menyebabkan mudarat dan fitnah terhadap Najib.

“Saya juga percaya bahawa terdapat kesalahan lain dalam Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh disiasat oleh polis berdasarkan fakta yang dinyatakan di atas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya