KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedia mengetengahkan konsep perpaduan di negeri ini untuk dijadikan sebagai contoh dalam mengukuhkan lagi kerakbaran hubungan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, perkara tersebut boleh dilihat dan dirasai sendiri oleh semua pihak dengan berkunjung ke negeri ini.
“Saya tidak berniat untuk mengungkit peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969…namun di Kelantan perkara tersebut tidak berlaku. Orang Kelantan hidup sebagai satu keluarga. Minggu lalu saya menerima kunjungan dari Persatuan Lima Agama selain Islam dan kaum bukan Melayu.
“Semasa kunjungan itu Pengerusi Himpunan Dewan Perniagaan Cina Kelantan sebut, dia waktu itu (13 Mei) berada di Pasir Mas, keluarga Melayu ambil (dia) duduk dengan mereka (orang Melayu). Sedangkan ketika itu tidak berlaku apa-apa, namun dia terkenang budi dengan keluarga Melayu itu. Jadi ini bukti yang tidak boleh disangkal oleh siapa-siapa,” katanya selepas merasmikan Program Semarak Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pasir Mas di Meranti hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu memberitahu, beliau berharap konsep perpaduan kaum di negeri ini dapat disuburkan ke seluruh negara.
Katanya, sambutan Hari Malaysia yang sudah memasuki usia 60 tahun sepatutnya menjadikan rakyat negara ini telah matang dalam menjalani kehidupan dengan lebih bersatu padu.
“ALLAH jadikan manusia ini berbilang kaum, bangsa, bahasa, agama yang pelbagai dan itu adalah satu nikmat. Islam tidak pernah memaksa masyarakat lain untuk memeluk agama ini.
“Jadi semangat, perpaduan ini perlu dipupuk sebagai satu keluarga walaupun Malaysia mempunyai pelbagai kaum. Dengan adanya penyatuan dan kesatuan ini kita boleh bergerak pantas untuk membangunkan negara lebih makmur lagi,” ujarnya.-UTUSAN