Saksi dakwa terdengar bunyi letupan kecil

Saksi dakwa terdengar bunyi letupan kecil

DUA anggota polis melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian di Tok Bok, Machang, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Seorang penduduk di Tok Bok, di sini mendakwa terdengar beberapa letupan kecil dari luar kawasan rumahnya semasa bangun dari tidur untuk bersiap bagi menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid awal pagi tadi.

Abdul Samad Hamzah,74, berkata, awalnya dia beranggapan letupan itu disebabkan oleh kemalangan jalan raya selepas melihat sebuah kereta telah terbabas di hadapan kawasan rumahnya.

Menurutnya, andaian itu meleset sama sekali apabila dia ditegur oleh seorang anggota polis yang berada di hadapan rumah sebaik sahaja keluar untuk ke masjid.

“Sebelum itu, sekitar pukul 4 pagi saya bangun dan bersiap-siap untuk menunaikan solat subuh di masjid sebelum terdekat tiga das letupan. Ketika ingin membuka pintu pagar rumah, saya turut melihat seorang lelaki yang ditahan oleh beberapa anggota polis.

“Saya ada bertanyakan kepada salah seorang anggota polis mengenai apa yang berlaku dan dia memaklumkan ia adalah berkaitan urusan pihak polis,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Abdul Samad memberitahu, bagaimanapun dia dan isterinya hanya mengetahui kejadian sebenar selepas pulang dari menunaikan solat Subuh.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang lelaki maut ditembak selepas dipercayai menyerang anggota polis dengan senjata tajam di Tok Bok, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, suspek berusia 20-an maut selepas terkena tembakan pihak polis manakala seorang lagi rakannya yang berusia dalam lingkungan 30-an berjaya ditahan.

Difahamkan, sebelum kejadian, kedua-dua suspek dilaporkan sedang mencuri lembu di Kampung Joh dekat sini.

Menyedari kehadiran polis, mereka sempat melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta sejauh kira-kira 4 kilometer sebelum salah seorang daripada mereka ditembak polis.-UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN