RUU GEG: Tidak perlu kompromiwalaupun hilang cukai RM3.48b

RUU GEG: Tidak perlu kompromi walaupun hilang cukai RM3.48b

BARJOYAI BARDAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara tidak perlu berkompromi dalam melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau lebih dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) walaupun mungkin akan kehilangan cukai berjumlah RM3.48 bilion setahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai yakin kerajaan tidak akan terjejas teruk dengan pelaksanaan RUU tersebut yang akan mengakibatkan industri rokok dan vape terjejas.

Katanya, berdasarkan rekod, cukai jualan rokok pada tahun 2020 adalah sekitar RM2.8 bili­on dan purata dari tahun 2019 hingga 2021, industri tersebut hanya menyumbang 0.2 peratus kepada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

DIRAGUI

Bahkan, katanya, jumlah cukai yang dijangka hilang itu diragui nilaiannya memandangkan pe­wartaan Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023 hanya dikuatkuasakan bermula 1 April lalu.

“Cuma, persoalannya adalah apakah pelaksanaan undang-undang tersebut benar-benar dapat menghapuskan tabiat merokok dalam negara kita ke­rana berdasarkan senario lalu, apabila sin tax (cukai mudarat) dinaikkan, perokok berpindah menggunakan rokok seludup.

“Penggunaan rokok seludup di negara meningkat sejak cukai mudarat dinaikkan sehinggakan syarikat rokok terpaksa menutup kilang mereka di Malaysia dan berpindah ke Indonesia. Jadi kajian mendapat perlu dilakukan terhadap kesan-kesan negatif sebegini.

“Saya menyokong RUU tersebut dilaksanakan, namun, ia perlu dilaksanakan secara berhemah dengan memberi masa kepada golongan perokok ini untuk membuang tabiat tersebut secara beransur-ansur,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini mela­porkan bahawa negara berisiko kehilangan pendapatan RM3.48 bilion cukai runcit industri vape jika RUU Kawalan Produk Merokok menyenaraikan vape dalam senarai bahan larangan sama seperti rokok.

Dalam Kajian Industri Vape Malaysia 2023 baru-baru ini, nilai runcit industri berkenaan berkembang mendadak sehingga 53 peratus iaitu daripada RM2.27 bilion pada 2019 kepada anggaran RM3.48 bilion pada tahun ini.

DIGEMBAR-GEMBUR

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, beliau percaya bahawa angka anggaran tersebut adalah fakta yang digembar-gemburkan untuk ‘menghalalkan’ industri vape di negara ini.

Namun, tegasnya, kerajaan tidak perlu tunduk terhadap gesaan pemain industri memandangkan kos penjagaan kesihatan rakyat yang terjejas akibat tabiat merokok dan vape adalah lebih tinggi.

“Pengharaman iklan rokok sekitar tahun 90-an dulu pun kerajaan kerugian bukan sikit hampir puluhan bilion tetapi kita mahukan pembangunan dan kesihatan yang lestari bukannya menjadi kaya.

“Jika mahu kaya, banyak lagi industri yang boleh memberikan pulangan lebih besar seperti produk ganja dan sebagainya,” katanya.

Pada masa sama, Baharom berkata, sebarang ganggu gugat terhadap cukai mudarat perlu diselaraskan dengan pemerkasaan kawalan sempadan memandangkan kedua­-dua perkara itu saling berhubung kait antara satu dengan yang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN