Rombak polisi pertanian lapuk

Rombak polisi pertanian lapuk

PENGHASILAN padi adalah antara pengeluaran makanan negara yang menurun saban tahun berikutan beberapa faktor termasuk isu benih dan baja yang tidak berkesudahan, memerlukan kerajaan menilai semula polisi pertanian negara yang sudah lapuk dan digantikan dengan polisi baharu yang lebih terbuka dan berdaya maju.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya kerajaan merombak polisi pertanian lapuk yang wujud sejak enam dekad lalu dengan memperkenalkan polisi lebih terbuka bagi memastikan keterjaminan sumber makanan negara pada masa akan datang.

Polisi pertanian lapuk terutama jualan, pengedaran dan pengagihan input pertanian seperti benih dan baja yang masih dipusatkan di bawah satu agensi atau entiti, dilihat menyukarkan negara untuk keluar daripada kebergantungan terhadap import makanan.

Malah, matlamat Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang mahu memastikan sektor keterjaminan makanan negara yang mampan tidak akan tercapai jika polisi itu terus dikekalkan.

MENINGKAT

Ini dapat dilihat apabila, walaupun DAN 2.0 diperkenalkan, namun nilai import makanan terus meningkat saban tahun daripada RM63.6 bilion pada tahun 2021 kepada RM75.6 bilion pada 2022 dan dijangka mening­kat kepada RM100 bilion bagi tahun 2025.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan di Institut Pertanian Tropika Dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Samad berkata, sekiranya tidak diubah, usaha yang dilakukan oleh kerajaan seperti DAN 2.0 sukar untuk mencapai matlamat.

“Kita buatlah DAN versi 3.0 pula atau ada polisi lain, tetapi sekiranya struktur tersebut tidak diubah maka selagi itu kita kekal macam ini. Mungkin lagi 10 tahun kita tetap akan berbincang tentang perkara yang sama iaitu kebergantungan negara terhadap barangan makanan import.

“Kita memerlukan polisi yang terbuka maksudnya golongan petani ataupun pesawah juga boleh menjadi pembekal benih, baja dan sebagainya sekiranya mereka ada keupayaan. Sekarang ini mereka disekat disebabkan sistem pemusatan atau kata mudah­nya monopoli,’’ katanya.

PEMUSATAN

Abdul Rahim berkata, di atas kertas, DAN 2.0 memang nampak berdaya maju dan apa yang diuar-uarkan oleh kementerian dan agensi-agensi pertanian semuanya bagus tetapi selagi pemusatan masih berlaku, sukar untuk negara keluar daripada masalah yang membelenggu pengeluaran makanan selama ini.

DAN 2.0 yang dilancarkan pada 25 Oktober 2021 adalah sebuah dasar yang memberi tumpuan khusus terhadap usaha mempertingkatkan sekuriti makanan negara.

Antara lain, DAN 2.0 menyasarkan tahap sara diri (SSL) bagi komoditi utama seperti beras mencapai pengeluaran pada tahap 80 peratus menjelas 2030, buah-buahan (83 peratus), sayuran (79 peratus), makanan laut (98 peratus), daging lembu (50 peratus), ayam dan itik (140 peratus), telur (123 peratus), susu segar (100 peratus).

Beliau berkata, sekiranya negara terus bergantung kepada pengimportan makanan, masyarakat bakal berhadapan masalah jika negara pengeksport mengubah polisi mereka akibat cabaran-cabaran atau situasi semasa yang berlaku.

“Sebagai contoh, apabila berlaku perubahan cuaca, maka sekatan akan dilakukan seperti India yang sudah mula mengurangkan import beras mereka, bawang pun sudah menjadi isu.

“Jadi kita berisiko tinggi untuk berhadapan masalah kenaikan harga barang-barangan makanan sebab jumlah import kita terlalu tinggi,” katanya.

AKSES

Sementara itu, Felo Perun­ding, Laboratori Kajian Polisi Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Fatimah Mohamed Arshad berkata, pada tahun 70-an, golongan petani di luar bandar tiada akses kepada maklumat pasaran.

Oleh demikian, katanya, kerajaan ketika itu melaksanakan beberapa polisi campur tangan untuk membantu petani antaranya dengan me­nubuhkan agensi pelaksana untuk membantu menguruskan pembangunan tanah, pengeluaran serta pemasaran komoditi.

“Polisi itu betul dan penubuhan agensi menepati tuntutan pada era berkenaan kerana ia membantu petani dalam aspek pemasaran, import dan pengagihan dengan cekap.

“Namun, melangkau beberapa dekad kemudian, semua polisi terbabit menzahirkan beberapa kesan luar jangkaan antaranya agensi diperkasakan tetapi pekebun kecil atau petani tidak banyak berubah.

“Selepas beberapa dekad, agensi ini menjadi besar dan memiliki pelbagai subsidiari atau anak syarikat, tetapi pe­neroka, petani dan sebagainya masih berstatus pekebun kecil serta menerima pendapatan rendah,” katanya.

Akibatnya, kata beliau, dana awam yang besar diperuntukkan kepada agensi berkenaan untuk membantu pekebun kecil kerana masih gagal meningkatkan pendapatan petani walaupun ditadbir oleh agensi berusia lebih separuh abad.

“Dalam sektor padi dan beras, pihak yang menerima keuntungan besar ialah pengilang dan peniaga, tetapi hampir 90 peratus petani dalam kategori B40,” katanya.

Kata Fatimah, selagi golongan petani tidak maju dan cukup pendapatan, selagi itulah pengeluaran hasil pertanian negara tidak akan meningkat.

‘’Saya melihat bahawa DAN 2.0 mungkin akan ada kemajuan tapi perlahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN