JOHOR BAHRU: Tanggal 9 September ini menjadi tarikh penting bagi calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi kerana bukan sahaja mengetahui nasibnya bertanding di kerusi Parlimen Pulai, malah meraikan perkahwinan anak sulungnya.
Malah, beliau pertama kali menyambut menantu dalam keluarga dan akan meluangkan masa menghadiri majlis tersebut sebelum kembali ke Pulai.
“Sudah tentu sebagai calon, saya mahu berada di sini, namun pada masa sama saya mahu menunaikan tanggungjawab sebagai seorang bapa. Saya perlu berterima kasih kepada adik-beradik yang banyak membantu menguruskan majlis persandingan berkenaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada saat saya sibuk berkempen, saya amat terhutang budi.
“Selepas menghadiri resepsi persandingan, saya akan terus pulang ke sini (Pulai) pada hari sama dan meluangkan masa bersama penyokong menantikan keputusan rasmi perebutan kerusi itu,” katanya kepada di sini hari ini.
Mengenai perancangan sekiranya diberikan mandat, Samsudin bertekad akan berusaha bagi mengupayakan kumpulan sasaran yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah di Parlimen Pulai, termasuk penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Bagi mencapai hasrat itu, mereka yang kurang berkemampuan akan diberikan ‘joran’ dengan mengikuti kursus kemahiran.
“Mereka ini hanya diberi ‘ikan’, sekiranya mereka diupayakan dan diberikan joran, mereka mampu mengubah nasib keluarga, seterusnya meningkat ekonomi mereka. Saya akan menawarkan kursus percuma selama tujuh hari selain pembayaran sewa rumah PPR selama dua bulan bagi menggalakkan lebih ramai mengikuti kursus kemahiran seperti memasak, menggunting rambut, jahitan, membaiki gajet dan sebagainya,” katanya.
Samsudin percaya, usaha kecil itu mampu membantu ramai golongan yang terkesan untuk keluar dari zon kemiskinan termasuk golongan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Ramai yang merupakan penerima bantuan JKM terpaksa menyerahkan kad ATM sebagai cagaran apabila mendapatkan pinjaman. Saya berjanji akan membantu mereka mendapatkan kad ATM berkenaan,” katanya.
Beliau juga mendapati beberapa bangunan di Parlimen Pulai dalam keadaan terbiar dan akan diberikan nafas baharu bagi pelbagai kegunaan termasuk menjana pendapatan.
“Sekiranya saya menjadi wakil rakyat, saya mahu mengesan pemilik bangunan itu dan berkongsi idea supaya bangunan itu diberi nafas baharu, antara menjadi pusat menghimpun usahawan tempatan untuk menjalankan aktiviti perniagaan,” katanya. – UTUSAN