PRK: Khaled akui ada risiko penyokong BN tak mengundi - Utusan Malaysia

PRK: Khaled akui ada risiko penyokong BN tak mengundi

MOHAMED KHALED NORDIN menyampaikan watikah pelantikan kepada Asiah Md. Arif pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Johor di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) bakal berdepan risiko pengundi tegarnya tidak keluar mengundi apabila calon yang bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram tidak menggunakan logo dan bendera parti itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, menjadi tugas jentera parti untuk mengingatkan dan menjelaskan kepada penyokong tegar siapa calon yang perlu diberi sokongan pada 9 September ini.

Beliau yang juga Pengerusi BN Johor berkata, ini kerana masih terdapat segelintir pengundi parti yang masih tidak dapat menerima kerjasama BN dengan Pakatan Harapan (PH) dan tidak berganjak dengan pendirian tersebut.

“Saya sebutkan banyak kali BN tidak bertanding, jadi penyokong tegar mungkin tengok apabila calon BN tidak bertanding, dia mungkin tak tahu siapa yang dia sokong. 

“Perkara ini kita perlu uruskan juga dan tidak boleh ambil mudah. Oleh itu, apabila kepimpinan parti bekerjasama dan sokong calon PH, maka kita juga menganggap semua penyokong akan turut memberi sokongan.

“Memang ada juga (akar umbi) yang mungkin tidak berganjak dengan pendirian kita, tetapi pada saya, itu hakikat yang kita kena terima bahawa penyokong masih keliru kenapa perlu bekerjasama dengan PH,” katanya selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Johor di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Mohd. Zahari Ismail.

Semalam, Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Jais Sarday memberitahu masih terdapat penyokong dan akar umbi yang keliru pendirian parti yang perlu bekerjasama dengan PH yang suatu masa dahulu adalah musuh utama UMNO.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, PRK ini adalah yang pertama kali PH-BN menguji keserasian jentera di negeri ini dan pengalaman ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, bulan lalu membantu kelancaran kempen.

“Kita dapati ada kemajuan dalam kefahaman mereka untuk bersama menjayakan hasrat kita (menyokong calon PH), hasil pertemuan yang dilakukan ini juga mendapat respons yang positif.

“Kalah menang itu perkara biasa, pokoknya sampai hari mengundi kita akan bekerja kuat dan kita tak akan ambil mudah, walaupun kita anggap  boleh menang tetapi kita akan terus bekerja dan Itu pendekatan yang kita akan ambil,” katanya yang enggan membuat sebarang ramalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN