JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar berharap peratusan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai hari ini mencecah 80 peratus.
Beliau menasihatkan para pengundi di Parlimen itu dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih seawal mungkin dan tidak perlu menunggu sehingga saat akhir.
“Saya harap peratusan keluar mengundi pada hari mengundi ini boleh mencecah 80 peratus ke atas,” katanya.
Terdahulu, Zulkifli menemani ibu mentuanya, Montiah Emam, 77, untuk mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tampoi, di sini.
Pada PRK tersebut, Zulkifli menentang calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.
Dalam pada itu, beliau turut memuji kecekapan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengendalikan proses pengundian pada PRK itu.
“Petugas SPR efisien membantu pengundi sejak memasuk pusat pengundian. Saya rasa layanan cukup baik oleh SPR,” katanya.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN