JOHOR BAHRU: Polis negeri ini menerima 28 laporan termasuk empat kes berkaitan isu agama, raja dan kaum (3R) sejak hari pertama berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram hingga hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kebanyakan laporan yang diterima berkaitan perbuatan merosakkan bahan kempen seperti bendera parti, kain rentang dan poster.
“Kita juga terima empat kes berkaitan isu 3R, dua daripadanya disiasat di Johor dan selebihnya disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Pengundian Awal di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, di sini hari ini.
Dua kes 3R itu berkaitan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramah di Simpang Jeram, minggu lalu dan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengeluarkan ‘fatwa’ haram menyokong calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat.
Kamarul Zaman berkata, pihaknya akan meningkatkan keanggotaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) khususnya bahagian trafik bagi memastikan aliran berjalan lancar.
Pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk meningkatkan kawalan supaya pergerakan pulang pengundi yang bekerja di Singapura berjalan lancar dengan semua laluan di pintu masuk CIQ tersebut akan dibuka pada Sabtu ini.
“Memang akan ada penambahan pegawai dan anggota di CIQ BSI, sekarang ini sudah ada lebih 200 anggota bertugas di sana serta dibantu 60 anggota trafik. Mungkin kita akan tambah bilangan anggota trafik.
“Penambahan dibuat bagi memastikan kelancaran perjalanan masuk pengundi dari Singapura dan jalan-jalan di laluan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan proses Pengundian Awal PRK Parlimen Pulai di dua pusat pengundian di Balai Polis Kempas dan Markas PPM Wilayah Dua berjalan lancar. – UTUSAN