Polis terima 140 laporan sepanjang PRK Pulai, Simpang Jeram - Utusan Malaysia

Polis terima 140 laporan sepanjang PRK Pulai, Simpang Jeram

Kamarul Zaman Mamat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis negeri ini menerima sebanyak 140 laporan sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram berlangsung.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah tersebut direkodkan bermula dari hari penamaan calon pada 26 Ogos hingga hari terakhir kempen, pukul 12 tengah malam, 8 September lalu.

Menurutnya, jumlah kertas siasatan yang dibuka Polis Johor kekal empat, manakala dua lagi kertas siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Proses pengundian yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 6 petang di kesemua 61 tempat mengundi berjalan lancar. Cuma pada peringkat awal berlaku hujan dan sedikit kesesakan berlaku di dalam bandar.

“Selain itu, ada dua insiden berlaku di Sungai Abong, Muar, iaitu dua kumpulan parti politik yang berdekatan bersorak, namun polis berjaya pisahkan kedua-dua kumpulan itu bagi mengelak perkara tidak diingini,” katanya ketika ditemui, di sini

Kamarul Zaman turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

“Para pengundi ini berupaya menunaikan hak dan tanggungjawab mereka dengan tenang. Ini menunjukkan tiada ancaman buat mereka, bebas keluar mengundi, kita jamin keselamatan semua yang terlibat.

“Terima kasih juga kepada seramai 4,000 pegawai dan anggota polis yang bertugas memastikan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram ini dapat berlangsung dengan lancar dan tenang. 

“Begitu juga kepada penyokong parti-parti politik yang bertanding, kita ucap terima kasih atas kerjasama yang diberi, mereka semua bertolak ansur dan keadaan aman damai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN