Polis Johor serbu 56 premis judi dalam talian - Utusan Malaysia

Polis Johor serbu 56 premis judi dalam talian

POLIS menyerbu 56 premis yang dijadikan pusat operasi judi dalam talian sejak Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis negeri ini  menahan seramai 12 individu dalam tujuh serbuan berasingan menerusi Op Dadu Khas terhadap premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka terdiri daripada tujuh lelaki tempatan serta dua lelaki dan tiga wanita warganegara asing berusia antara 20 hingga 60 tahun.

“Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas 13 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua pencetak dan wang tunai berjumlah RM994,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, Op Dadu telah dijalankan pihaknya sejak Jumaat lalu dengan keseluruhan 56 premis berkaitan telah diperiksa.

“Dalam tempoh itu, seramai 66 individu telah ditahan terdiri daripada 55 lelaki dan 11 wanita dengan 58 daripadanya mereka merupakan warganegara tempatan, manakala lapan lagi warganegara asing. Kesemua yang ditahan berusia antara 19 sehingga 66 tahun. 

“Turut dirampas dalam tempoh tersebut adalah 67 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 23 mesin pencetak dan wang tunai berjumlah RM9,641. Semua premis yang diserbu sedang dalam proses pembatalan lesen dan pemotongan bekalan elektrik, hanya menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.

Kamarul Zaman berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4(A)(a) dan 4B(b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Operasi ini bertujuan membanteras kegiatan judi haram selain meningkatkan keyakinan kepada masyarakat dengan usaha-usaha dilaksanakan polis. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan tersebut boleh menghubungi Bilik Gerakan Polis Johor menerusi talian  07-2212999 atau 07-225 4677,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN