Piala Malaysia: JDT bawa pulang bekalan selesa dari Seremban - Utusan Malaysia

Piala Malaysia: JDT bawa pulang bekalan selesa dari Seremban

PEMAIN JDT meraikan gol dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban malam ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan selesa ke atas pasukan Negeri Sembilan FC dengan jaringan 3-0 dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dekat sini malam ini.

Arif Aiman Mohd. Hanapi meletakkan pelawat di depan pada minit ke-19 melalui rembatan deras yang gagal diselamatkan penjaga gawang, Muhammad Firdaus Irman Mohd. Fadhil.

Penyerang JDT, Bergson Gustavo Silveira Da Silva menjadikan kedudukan 2-0 melalui sepakan penalti selepas dia dijatuhkan oleh ketua pasukan tuan rumah, Nasrullah Haniff Johan pada minit ke-28.

Negeri Sembilan kemudiannya hampir merapatkan kedudukan tiga minit selepas itu, namun tandukan R. Barathkumar berjaya ditepis keluar penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Pada minit ke-37, Bergson gagal menambah jaringan walaupun mendapat peluang sebanyak dua kali di depan pintu gol Negeri Sembilan dengan sepakan beliau ditepis Muhammad Firdaus Irman dan sepakan kedua pula tersasar keluar.

PERTAHANAN Negeri Sembilan, Herold Mark Goulon menghalang rembatan penyerang JDT, Bergson Gustavo Silveira Da Silva dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia yang menemukan kedua-dua pasukan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban malam ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Kehilangan tonggak pertahanan utama Negeri Sembilan, Herold Mark Goulon yang cedera pada penghujung separuh masa pertama tidak mematahkan semangat jentera pertahanan tuan rumah untuk bertahan daripada serangan bertali arus JDT pada separuh masa kedua.

Ketiadaan Arif Aiman yang digantikan sejak separuh masa pertama ternyata memberi kesan kepada barisan hadapan JDT dengan Bergson dikawal ketat pertahanan Negeri Sembilan.

Tuan rumah turut mendapat beberapa peluang lagi tetapi tindakan penyudah yang tumpul gagal menghasilkan sebarang gol.

Ketika permainan tampak kekal dengan jaringan 2-0, Bergson mencuri peluang menjaringkan gol ketiga yang berpunca daripada sepakan percuma di luar kotak penalti Negeri Sembilan pada minit akhir perlawanan.

Perlawanan suku akhir kedua di antara kedua-dua pasukan akan berlangsung pada 23 September depan di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri, Johor.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya