PH perlu terus bersikap positif terhadap Muda - Hassan - Utusan Malaysia

PH perlu terus bersikap positif terhadap Muda – Hassan

Hassan Abdul Karim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Walaupun Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak lagi berada dalam blok kerajaan, namun Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya memisahkan terus hubungan dan kerjasama dengan parti tersebut.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan, kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih memerlukan sokongan Muda untuk melakukan rombakan institusi penting.

Menurutnya, satu kerusi Muda,  iaitu di Parlimen Muar yang diwakili Presidennya, Syed Saddiq Syed Abd. Rahman adalah penting bagi membolehkan kerajaan mempunyai sokongan majoriti dua pertiga.

“Walaupun Muda telah berpindah ke blok pembangkang di Parlimen, tetapi parti itu tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) yang merupakan blok pembangkang terbesar dengan 74 Ahli Parlimen. 

“Ahli Parlimen Muar itu telah menyatakan beliau akan menyokong kerajaan Madani dalam usaha-usaha positif melakukan reform yang melibatkan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, Perdana Menteri, khususnya perlu memberi perhatian terhadap pendirian positif Muda yang ingin memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif. Rakyat tidak lupa akan peranan Syed Saddiq yang mempelopori usaha pindaan perlembagaan pada tahun 2018 hingga 2019 agar pembentangan dan kelulusan dengan majoriti 2/3 ke atas RUU Undi-18 dan pendaftaran pengundi automatik di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, perkara itu penting kerana PH ketika ini sedang berusaha melakukan dua ‘reform’ yang sangat penting berkaitan institusi negara, iaitu yang pertama untuk menggubal rang undang-undang berkaitan pemisahan jawatan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya, manakala yang kedua  menggubal rang undang-undang berkaitan menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen (Parliament Services Act). 

“Kontradiksi antara PH dengan Muda adalah kontradiksi yang bersifat air dicincang tidak akan putus; atau carik-carik bulu ayam, lambat laun bercantum juga. Kontradiksi ini adalah kontradiksi non-antagonistik.

“Justeru, janganlah diulang lagi peristiwa di Temasik, Singapura, dalam sejarah purba Singapura dilanggar Todak, di mana budak yang cerdik bernama Hang Nadim dibunuh oleh para pembesar istana yang bodoh dengan mencampakkan Hang Nadim ke laut dengan tangan serta kakinya dipasung oleh rantai besi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya