
PENGUNDI di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sudah menyampaikan suara mereka kelmarin, iaitu memilih calon Pakatan Harapan (PH) untuk kekal mewakili mereka di Dewan Rakyat dan DUN Johor.
Tahniah kepada YB Suhaizan Kayat yang dipilih sebagai Ahli Parlimen Pulai dan YB Nazri Abdul Rahman mewakili DUN Simpang Jeram, kedua-duanya daripada Parti Amanah Negara (Amanah).
Kepada semua calon yang bertanding, terima kasih kerana telah menyemarak dan menyuburkan proses demokrasi dalam negara.
IKTIBAR
Yang menang tak menang semuanya, yang tewas tak kalah semuanya. Pastinya ada sisi lain yang harus menjadi pengajaran dan iktibar serta pengalaman kepada semua calon dan parti-parti yang bertanding.
Yang paling penting, semua pihak yang berkepentingan boleh menilai sejauh mana tahap sokongan rakyat di kawasan masing-masing dan mengenal pasti kelemahan dan kekuatan yang ada untuk ditambah baik.
Walaupun menang, namun kedua-dua calon PH tidak harus mendabik dada. Kekal muhasabah diri dan perbaiki kelemahan diri. Dan yang paling utama, ingat janji-janji yang diucapkan semasa berkempen. Rakyat tidak akan lupa.
Berdasarkan keputusan PRK Pulai, pengundi tegar PH khususnya kaum Cina masih teguh di belakang gabungan tersebut.
Walaupun, jumlah yang keluar mengundi rendah iaitu 47.32 peratus daripada 167,000 pengundi tetapi sokongan terhadap calon PH tetap kuat, khususnya di kawasan majoriti Cina seperti di Perling dan Bukit Indah.
Pada masa yang sama PH dan Barisan Nasional (BN) harus mengenal pasti mengapa sokongan kaum Melayu agak rendah di Pulai.
DINAMIKA
Ternyata, penyokong tegar UMNO masih belum dapat ‘menghadam’ kerjasama politik yang dahulunya dianggap ‘mustahil’ melibatkan DAP. Namun, itulah dinamika politik hari ini.
Senario di kerusi DUN Simpang Jeram agak berbeza apabila peratusan keluar mengundi di situ menunjukkan peningkatan berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu iaitu sebanyak 60.85 peratus.
Malah, majoriti diperoleh calon Pakatan Harapan (PH), Ir. Nazri Abdul Rahman merekodkan peningkatan sebanyak 1,115 undi kepada 3,514 undi berbanding 2,399 undi yang diperoleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum itu.
Usaha menjelaskan tentang kerjasama politik PH-BN harus dipergiatkan jika mahu menarik lebih banyak sokongan, termasuk dalam kalangan penyokong tegar BN, khususnya UMNO.
Bagi PN, walaupun tewas di Pulai dan Simpang Jeram, gabungan tersebut sudah mampu melihat pelbagai ruang yang mampu ditambah baik dalam meningkatkan sokongan untuk menembusi Johor yang dianggap sebagai kubu kuat BN selama ini.
Gabungan itu sekurang-kurangnya memenangi kemenangan moral apabila berjaya meraih pertambahan sokongan, meskipun hasrat untuk menguburkan UMNO di Johor tidak kesampaian.
Selain itu, kekalahan di Simpang Jeram juga memberi peringatan bahawa strategi berkempen agresif yang menyentuh untung nasib UMNO bekerjasama dengan DAP, tidak menjamin sebarang potensi perpindahan undi kepada mereka.
Konsistensi kepemimpinan PN terutamanya Pas mempolitikkan kes mahkamah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga dilihat sebagai senjata makan tuan, yang mana naratif sedemikian membawa perspektif berbeza daripada kaca mata ahli-ahli parti.
Bagaimanapun, andai momentum sokongan yang kian meningkat terhadap PN mampu dilonjakkan, tidak mustahil PN berupaya menembusi Johor pada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti. – UTUSAN










