KANGAR: Perlis menaruh keyakinan 100 peratus mampu meraih pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan Ke-11 menerusi sesi penilaian yang cukup positif bermula Isnin lalu berakhir esok.
Pengurus Perlis Geopark, Dr. Puteh Soraya A.Rahman berkata, sepanjang lawatan bersama pasukan panel ke lokasi-lokasi geo tapak ia menunjukkan penerimaan cukup positif untuk mencapai penarafan Geopark Kebangsaan.
Beliau berkata, pihaknya sememangnya berharap menerima pengiktirafan tahun ini khususnya menjelang Tahun Melawat Perlis 2024/2025 agar lokasi berkenaan boleh dijadikan sebagai salah satu produk.
“Secara lisan daripada panel-panel ini, lokasi-lokasi geo tapak Perlis ini bertaraf lima bintang lah. Seperti Bukit Jernih antaranya yang bertaraf rantau khususnya daripada segi fosil-fosil yang ditemukan.
“Kita juga telah melawat antaranya Bukit Lagi, di situ, kita juga jumpa fosil-fosil yang telah diperakui oleh pakar. Antara lain, Wang Kelian khususnya berkaitan panorama, panel-panel agak kagum melihat pemandangannya dengan bukit-bukit kita semua berpasang-pasang.
“Selain itu, di Gua Kelam, nilainya juga cukup tinggi khususnya daripada geo warisan dan budaya. Nilai tapak ini untuk Perlis dapat pengiktirafan Geopark Kebangsaan ini agak tinggilah,” katanya ketika ditemui ketika bersama barisan panel melawat Air Timbul, Batu Bertangkup di sini hari ini.
Sesi penilaian Perlis Geopark ke arah Geopark bertaraf kebangsaan 2023 bermula Isnin lalu dan berakhir esok.
Antara lokasi yang dilawati untuk penilaian itu seperti geotapak Bukit Lagi, Bukit Ayer, Gua Kelam, Bukit Jernih dan Timah Tasoh, View Point Wang Kelian, Kampung Warna-Warni Seberang Ramai dan Muzium Kota Kayang.
Buat masa ini, sebanyak 23 geotapak telah dikenal pasti di Perlis dan hasil laporan penilaian itu akan juga akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan yang dijangka berlangsung pada pertengahan bulan ini atau awal November depan.
Sementara itu, Puteh Soraya berkata, lokasi geotapak Bukit Jernih antara yang paling menarik perhatian para penilai.
“Di sini, ada fosil, batuan-batuan yang sudah memang lama dibuktikan berjuta-juta tahun. Terdapat juga saliran kuno dan dataran fosil kuno,” katanya.-UTUSAN










