Peranan PH sebagai pengimbang memadai - Hairi - Utusan Malaysia

Peranan PH sebagai pengimbang memadai – Hairi

MOHD. HAIRI MAD SHAH (belakang, tengah) menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran MoU antara Kolej Kemahiran Johor dan pemain industri di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Peranan sebagai pengimbang yang diberikan kepada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) sudah memadai kerana mereka turut main peranan penting dalam kerajaan negeri.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, perkara itu juga telah dipersetujui pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Mac lalu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, peranan itu sekali gus menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya mereka menjadi pengimbang serta pemeriksa kepada kerajaan dan tiada keperluan jawatan Exco diberikan ekoran kerajaan negeri sudah terbentuk.

“Saya menganggap itu hanya pendapat peribadi dan Johor telah mengadakan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal. Apabila Pilihan Raya Umum ake-15 (PRU15) selesai, baru kerajaan perpaduan ditubuh di peringkat Pusat.

“Di Johor ini, kita mempunyai pembangkang dan pengimbang. Saya rasa pengimbang sudah memadai dengan apa yang kita persetujui dan harus akur perkenan Tuanku Sultan Johor.

“Kami selaku Exco kerajaan negeri akan akur dengan sebarang keputusan dibuat Sultan Johor sama ada kerajaan ini boleh dibentuk bersama atau kekal dengan yang ada,” katanya ditemui selepas menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Kemahiran Johor dengan empat rakan strategik dalam bidang pembuatan dan penyediaan makanan serta automotif di Hotel Seri Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan mencadangkan kerajaan Johor mengikut format kerajaan perpaduan di peringkat Pusat dengan ada komposisi membabitkan wakil daripada PH.

Aminolhuda dilaporkan berkata, kerajaan negeri dapat melakukan perubahan dengan membuka pintu kepada wakil rakyat PH untuk berada dalam kerajaan negeri dengan mencadangkan tiga jawatan Exco diberikan.

Mohd. Hairi turut mengingatkan semua pihak supaya tidak cuba melaga-lagakan pentabiran kerajaan negeri sedia ada dengan kenyataan yang tidak sepatutnya dan memberi tumpuan bagi menjayakan agenda yang lebih besar, iaitu Agenda Johor.

“Pentadbiran kerajaan Johor yang diketuai Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang ada hari ini cukup kuat dan saya yakin dengan barisan wakil rakyat yang memenangi dua pertiga sudah memadai.

“Jika ingin pecah-belahkan lagi keadaan yang stabil ini, saya bimbang dengan adanya kenyataan sebegini akan merosakkan agenda perpaduan yang sedia terbentuk ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN