JOHOR BAHRU: Pengundi Cina di kawasan Parlimen Pulai diseru untuk memberikan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat pada Sabtu ini seperti yang diberikan kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu adalah calon yang tepat dan diyakini mampu menggalas tugas sebagai wakil rakyat kepada penduduk di Pulai.
Beliau berkata, Suhaizan yang juga Setiausaha Politik kepada Salahuddin sudah biasa berkhidmat kepada rakyat di kawasan Pulai bagi pihak Salahuddin ketika menjalankan tugas sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di luar kawasan.
“Saya tahu sokongan orang Cina kepada Allahyarham cukup besar, cukup kuat. Saya mahu kali ini Suhaizan juga dapat sokongan daripada pengundi-pengundi Cina di Pulai ini. Dulu dia lawan BN, BN lawan dia, dulu lawan tetap lawan, sekarang lawan sudah jadi kawan, buat apa kita lawan? Sekarang kita kerajaan perpaduan.
“Orang Melayu, Cina, India serta Sabah dan Sarawak beliau akan tolong. Saya bagitahu dia tolong semua bangsa kerana kita buta warna. Kalau tidak cukup peruntukan, boleh minta bantuan saya,” katanya pada Majlis Perjumpaan Bersama Pertubuhan Penganut Kuan Yin Taman Perling di Tokong Guan Yin, di sini malam ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong; Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang juga calon PH, Suhaizan.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mengumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan awal sebanyak RM500,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Poay Chai, di sini.
Beliau berkata, Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor sebelum ini telah membuat permohonan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi tujuan pembinaan bangunan tambahan di sekolah itu.
“Chin Tong beritahu beliau sudah minta supaya pengundi Cina di Pulai ini mesti turun sekurang-kurangnya 70 peratus pada 9 September ini. Ini bukan kempen untuk BN, Sekarang kita kawan, kita mahu kerajaan perpaduan di Johor dan Putrajaya. Kerajaan terkuat di Malaysia,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Ahmad Zahid berkata, mengambil semangat kebersamaan kerajaan perpaduan, BN akan terus menyokong PH bagi memastikan kerajaan terus stabil daripada segi ekonomi, pendidikan dan peluang pekerjaan yang baik. – UTUSAN