Pelan Intervensi BPT: FAMA tingkat kapasiti edaran beras tempatan - Utusan Malaysia

Pelan Intervensi BPT: FAMA tingkat kapasiti edaran beras tempatan

CHAN Foong Hin (empat dari kiri) bersama pembeli ketika mengadakan lawatan ke Pusat Operasi FAMA Senawang di Seremban hari ini bagi melihat pelaksanaan Pelan Intervensi Pengedaran BPT.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan meningkatkan kapasiti edaran beras putih tempatan (BPT) kepada 1,100 tan metrik sebulan menerusi pelaksanaan Pelan Intervensi Pengedaran BPT ketika ini bagi memenuhi keperluan rakyat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, peningkatan kapasiti daripada 400 tan metrik sebulan menerusi pengedaran di outlet-outlet FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu adalah juga bertujuan membantu menstabilkan permintaan bekalan BPT di pasaran setempat.

Jelas beliau, buat masa ini pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya sebanyak 8,000 tan metrik BPT akan berada di pasaran menerusi pelan intervensi tersebut

“Pujian perlu diberikan kepada FAMA yang ‘terheret’ untuk jual beras sedangkan FAMA sepatutnya (fungsi) untuk pemasaran produk-produk pengeluaran pertanian. Namun, FAMA mampu mengerakkan outletnya untuk penjualan beras.

“Edaran jualan BPT kali ini lebih teratur dan tiada lagi kekecohan pembelian di sesetengah tempat seperti sebelum ini. Untuk minggu ini, keadaan semakin reda, tidak ada lagi isu kekecohan seolah-olah BPT habis stok.

“Kami akan pastikan BPT akan sampai ke tempat-tempat memerlukan. Buat fasa pertama program BPT ini, kami libatkan lima pemborong utama untuk pastikan stok sentiasa ada,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan melihat pelaksanaan Pelan Intervensi Pengedaran BPT di Pusat Operasi FAMA Senawang di sini hari ini.

ORANG ramai mengambil peluang membeli beras tempatan yang dijual di Pusat Operasi FAMA Senawang di Seremban menerusi pelaksanaan Pelan Intervensi Pengedaran BPT.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri memberitahu, sebanyak 35 buah Pusat Operasi FAMA telah digerakkan untuk pengedaran jualan BPT selain menyasarkan untuk turut mengedarkannya ke 416 buah outlet usahawan FAMA.

“Di outlet-outlet ini baru 10 peratus sahaja kami edarkan, kami akan gunakan outlet agro bazar yang berada di luar bandar dan outlet-outlet usahawan FAMA bagi pembelian ini,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang pembeli, Mohd. Hata Halim, 64, dari Taman Desa Dahlia, Senawang, di sini memberitahu, ini kali kedua dia membeli BPT dari Pusat Operasi FAMA.

“Penggunaan satu kampit beras 10 kilogram buat keluarga saya hanya bertahan dalam tempoh dua minggu sahaja. Setiap minggu lima orang anak serta cucu akan pulang menyebabkan nasi perlu dimasak dalam jumlah yang banyak.

“Alhamdulillah, apabila FAMA buat jualan begini ia memang memberikan kelegaan kerana sukar untuk mendapatkan bekalan BPT ketika ini di pasaran,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN