PAGE sokong PBD, tolak UPSR dilaksana semula

PAGE sokong PBD, tolak UPSR dilaksana semula

PENTAKSIRAN Bilik Darjah (PBD) dikatakan mampu memberi ruang dan peluang kepada kanak-kanak untuk belajar tanpa terlalu cenderung dalam bidang akademik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) menyokong kerajaan untuk terus melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan tidak melaksanakan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semula.

Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, PAGE menyokong PBD kerana ia memberi ruang dan peluang untuk belajar yang bukan terlalu cenderung dalam bidang akademik sahaja.

Walau bagaimanapun, kata beliau, terdapat banyak isu yang perlu ditangani dalam pelaksanaan PBD kerana ia bergantung dengan skema dan cara guru-guru menilai, biarpun ada kerangka untuk membuat penilaian tetapi guru perlu membuat adaptasi serta interpretasi mengikut keadaan serta persekitaran.

TERCICIR

“Negara masih ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai peperiksaan awam, di peringkat tersebut ramai di kalangan pelajar tercicir dan terkebelakang. Ia merupakan bukti ketiadaan peperiksaan awam yang menjejaskan fokus pembelajaran.

“Banyak faktor yang menentukan prestasi pembelajaran pelajar, tidak ada yang mendokong yang peperiksaan secara high stakes, iaitu ujian sumatif berkepentingan tinggi mampu memupuk minat belajar. Malahan di sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Majlis Profesor Negara (MPN) menggesa kerajaan mengembalikan UPSR yang menggunakan format asal tahun 1988 bagi memudahkan penilaian dibuat terhadap kemahiran 3M iaitu membaca, mengira dan menulis murid-murid sekolah rendah.

Perkara ini turut disokong oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) yang menyifatkan pelaksanaan semula UPSR bakal membolehkan penilaian sama rata dapat dibuat ke atas murid-murid.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan hala tuju pelaksanaan PBD yang kurang jelas sehingga menyebabkan pelajar menjadi keliru dan terpinga-pinga, Noor Azimah menyangkal dakwaan tersebut.

“Bukan pelajar yang terpinga, kerana ia bergantung dengan guru. Seharusnya guru yang jelas dan tidak terpinga dan menjayakan cara pentaksiran sebegini.

“Ini bagi membolehkan mereka tahu di manakah peringkat pembelajaran seseorang pelajar dan bagaimana cara untuk memastikan pelajar itu tidak terkebelakang atau yang cemerlang pula, bagaimana untuk memberi dorongan terbaik agar pelajar ini lebih terserlah,” katanya.

Tambahnya, guru perlu diberi sokongan, dorongan dan pementoran yang betul agar mereka dapat meningkat potensi seseorang pelajar itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×