JOHOR BAHRU: Pengundi di Parlimen Pulai dirayu supaya keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini memandangkan peratusan pengundian masih rendah setakat pukul 2 petang ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed berkata, ini kerana PRK tersebut penting supaya kerajaan perpaduan dapat mempertahankan majoriti dua pertiga untuk melaksanakan perubahan yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, sekiranya kerajaan Madani tidak dapat majoriti dua pertiga, banyak perkara yang dirancang Anwar tidak dapat diselesaikan.
“Saya harap rakyat akan melihat bahawa PRK Pulai ini walaupun hanya melibatkan satu kawasan Parlimen tapi sebenarnya ia mempunyai implikasi terhadap seluruh agenda kerajaan di peringkat nasional.
“Saya mohon banyak-banyak mereka (pengundi Pulai) keluar mengundi, tambah lagi orang Cina, please keluar mengundi. Jangan pandang PRK ini sebagai kecil sahaja yang tak akan mengubah nasib mereka.
“Orang Cina nakkan perubahan, inilah dia peluang nak buat perubahan tapi jangan pula pandang PRK ini sebagai pilihan raya tak penting dengan tidak mahu keluar mengundi kerana sebab-sebab tertentu,” katanya selepas mengundi di Sekolah Agama Dato’ Omar Yusof, Kampung Pasir, di sini hari ini.
Telahan beberapa pihak bahawa Nur Jazlan tidak keluar mengundi meleset selepas Timbalan Speaker Dewan Negara itu menunaikan tanggungjawab itu pada pukul 12.28 tengah hari tadi.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Nur Jazlan keluar mengundi lebih awal di pusat pengundian yang sama, November lalu. – UTUSAN