PASIR MAS: Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) akan melaksanakan sistem pembayaran tempat letak kenderaan tanpa tunai menggunakan aplikasi e-pay dalam masa terdekat.
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, sistem itu kini dalam proses transisi untuk diperkenalkan kepada rakyat.
“Pelaksanaannya sudah diwar-warkan bagi membiasakan rakyat dengan aplikasi itu sebelum memulakan sistem baharu tersebut dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Wellness Month Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Dataran Bandar Baru Lubok Jong di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Zaini Husin.
Dalam pada itu, Hilmi memberitahu, pihaknya kini dalam proses menamatkan kontrak sebuah syarikat swasta yang mengendalikan tempat letak kenderaan sebelum ini.
Katanya, syarikat berkenaan sudah tidak lagi berhak untuk mengambil sebarang bayaran tempat letak kenderaan mahupun tindakan kompaun dan sebagainya.
“Setakat ini, kita telah menghantar notis penamatan kontrak dan sedang menunggu pandangan daripada kerajaan negeri untuk meneruskan penamatan kontrak syarikat berkenaan secara mutlak.
“Kita (MPKB-BRI) akan mengendalikan sendiri segala urusan berkaitan tempat letak kereta dan syarikat berkenaan tidak lagi berhak untuk mengambil apa-apa bayaran tempat letak kenderaan,”ujarnya-UTUSAN









