Masyarakat perlu peka teknologi AI

Masyarakat perlu peka teknologi AI

myairline
RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masyarakat disa­ran agar lebih bersedia mengha­dapi perubahan teknologi bagi mengelak daripada menjadi mang­­sa penipuan jenayah siber.

Kemajuan pesat bidang teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan mempunyai keupayaan menggandakan aktiviti jenayah siber seperti penipuan.

Melaluinya, penjenayah siber bertindak lebih ke hadapan apabila boleh menggunakan rakaman video atau gambar palsu ‘deepface’ berasaskan AI untuk membuat pemerasan dan panggilan palsu untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam kecanggihan dunia dalam talian ini, penjenayah boleh meniru rupa, suara, gelagat dan apa sahaja perbuatan untuk menipu.

Kata beliau, keadaan ini ber­kemungkinan menyebabkan lebih ramai lagi masyarakat menjadi mangsa penjenayah siber ini sekiranya mereka tidak bersedia dan beradaptasi untuk menghadapi perubahan tek­nologi ini.

“Dengan kepesatan ini, kita tidak lagi ketahui sama ada apa yang kita lihat (secara dalam talian) itu benar atau tidak.

“Sebagai contoh, data-data pe­ribadi mudah digunakan oleh pihak ketiga untuk mengenal corak kehidupan, kemudian gambar dan video akan disun­ting menggunakan teknologi AI sebelum dimuat naik di mana-mana platform untuk melakukan pemerasan dan penipuan.

“Jika ada penyebaran sesuatu video atau gambar, kita (polis) tidak lagi dapat bezakan yang mana palsu dan betul dan sudah pasti ia akan beri kesan kepada semua khususnya pemimpin masyarakat,” katanya dalam temu bual baru-baru ini.

Mengulas lanjut, kata Ramli, kepesatan teknologi AI ini juga membuka peluang kepada penjenayah siber melakukan klon suara untuk melakukan perbuatan jenayah.

“Sekarang, modus operandi yang digunakan sindiket penipuan mungkin mereka akan hubungi mangsa de­ngan menya­mar sebagai pihak berkuasa atau sebagainya sehingga menyebabkan ramai tertipu dan jadi mang­sa.

“Tidak lama lagi, dengan AI, penjenayah mungkin boleh mela­kukan pengklonan suara dengan menyamar sebagai kenalan atau keluarga kita, sehingga kita tidak dapat bezakan suara sebenar seseorang itu dan seterusnya menjadi mangsa penipuan,” jelasnya.

Dalam menempuh cabaran memerangi jenayah siber, Ramli berkata, JSJK akan memastikan anggota dan pegawai mereka memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan berkaitan AI agar mereka bersedia dalam peredaran teknologi ini.

Selain itu, kata beliau, sistem yang digunakan JSJK akan ditambah baik dengan membawa keperluan-keperluan kepada pihak berkenaan untuk melihat semula sistem yang ada agar mengikuti teknologi semasa.

“Dalam situasi ini, pengurusan sumber manusia, kewangan dan lojistik perlu seimbang bagi sesuatu jabatan itu berfungsi dengan baik.

“Kalau ditanya, mungkin kita (JSJK) tidak mencukupi dari sumber manusianya tetapi ia boleh dilengkapkan dengan penggunaan teknologi yang tinggi. Kedua-dua ini perlu ini ditambah baik sebagai persiapan kita di masa hadapan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN