JOHOR BAHRU: Slogan ‘Malaysian Malaysia’ yang menjadi falsafah dan perjuangan DAP tidak bercanggah dengan perlembagaan negara, malah selari dengan prinsip Rukun Negara.
Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Sheikh Omar Bagharib Ali berkata, slogan itu merujuk kepada Malaysia untuk rakyat Malaysia yang selama ini tidak pernah menimbulkan masalah dan tidak perlu dibangkitkan lagi.
Naib Pengerusi DAP Johor itu berkata, hal itu tidak sepatutnya dijadikan isu lebih-lebih lagi ketika parti sedang berjuang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
“Kita tidak seharusnya memainkan polemik ini berterusan, sebaliknya mencari titik persamaan perpaduan (antara Pakatan Harapan dan BN) untuk berkempen dalam pilihan raya ini.
“Sebab itu kita setuju bentuk kerajaan perpaduan dan (semua parti) setuju perlembagaan parti ini, tiada masalah antara satu sama lain. Jadi, seharusnya perkara ini tidak timbul,” katanya ketika ditemui pada Ceramah Perpaduan Pulai di Bukit Indah, di sini.
Yang turut hadir, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong merangkap Pengerusi DAP Johor; Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Maszlee Malik; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Samsolbari Jamali dan calon PH, Suhaizan Kayat.
Jumaat lalu, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menggesa DAP memberi penjelasan mengenai konsep Malaysian Malaysia dibawa parti itu supaya tidak lagi menyumbang kepada ketegangan kaum.
Sebelum itu, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed meminta DAP menggugurkan tuntutan ‘Malaysian Malaysia’ dan menggesa komponen PH menilai semula komitmennya yang antara lain menghapuskan sistem kuota Bumiputera.
Mengulas lanjut, Sheikh Omar memberitahu, akar umbi khususnya UMNO perlu mendapat kefahaman jelas mengenai isu itu supaya kerjasama antara PH dan BN yang tidak sampai setahun tidak tergugat.
Beliau berkata, rasa sangsi serta curiga orang Melayu yang menghantui mereka itu adalah perkara biasa dan memerlukan masa untuk menerimanya serta usaha memberi penjelasan sedang dilakukan jentera parti ketika ini.
“Slogan tersebut tidak perlu digugurkan dan pada masa sama tidak seharusnya terikut-ikut dengan rentak Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa DAP adalah satu ancaman,” katanya. – UTUSAN